Fenomena pergerakan tanah di Aceh Tengah makin meluas

Pemandangan dari udara menunjukkan pekerja syarikat elektrik negara PLN menghentikan operasi menara penghantaran voltan tinggi berhampiran kejadian tanah runtuh di Kampung Pondok Balik, Kecamatan Ketol, Aceh. Foto AFP
Pemandangan dari udara menunjukkan pekerja syarikat elektrik negara PLN menghentikan operasi menara penghantaran voltan tinggi berhampiran kejadian tanah runtuh di Kampung Pondok Balik, Kecamatan Ketol, Aceh. Foto AFP
A
A
A

BANDA ACEH – Fenomena pergerakan tanah atau tanah runtuh di Kampung Bah, Kecamatan Ketol, Kabupaten Aceh Tengah dilaporkan terus meluas sehingga melebihi 30,000 meter persegi, menurut Jabatan Tenaga dan Sumber Mineral (ESDM) Aceh.

Ketua Bidang Geologi dan Air Tanah ESDM Aceh, Ikhlas berkata, keluasan terkini kawasan terjejas menunjukkan perluasan ketara berbanding rekod terdahulu.

“Buat masa ini, keluasan yang direkodkan melebihi 30,000 meter persegi. Pada 2021, ia masih sekitar 20,199 meter persegi, bermakna berlaku pertambahan lebih 10,000 meter persegi,” katanya seperti dipetik ANTARA baru-baru ini.

Beliau menegaskan bahawa kejadian tersebut bukan fenomena lubang benam (sinkhole), sebaliknya berpunca daripada hakisan bawah permukaan (piping erosion) yang berlaku akibat aliran air bawah tanah dan air permukaan, selain dipengaruhi keadaan tebing yang curam serta boleh dicetuskan oleh hujan lebat dan gempa bumi.

Menurut Ikhlas, Badan Geologi Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia turut menjalankan kajian terkini dan hasil analisis awal mengesahkan fenomena berkenaan bukan lubang benam.

“Badan Geologi telah menyatakan bahawa kejadian ini bukan sinkhole, tetapi hakisan bawah permukaan atau dikenali sebagai piping erosion,” jelasnya.

Beliau berkata, hasil kajian sementara mendapati pergerakan tanah itu berlaku kerana lapisan tanah di kawasan berkenaan berada di atas batuan gunung berapi Formasi Geureudong yang bersifat longgar dan rapuh, menyebabkan ia mudah menyerap serta tepu air.

Selain itu, kewujudan aliran air bawah tanah yang menghakis secara mendatar, ditambah dengan limpahan saliran terutama ketika musim hujan, meningkatkan beban tanah di kawasan cerun.

Keadaan tebing yang hampir menegak turut menyumbang kepada ketidakstabilan cerun dan berpotensi dicetuskan oleh hujan berterusan serta gempa bumi.-Agensi

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Fenomena pergerakan tanah di Kampung Bah, Aceh Tengah meluas melebihi 30,000 meter persegi
  • Keluaran kawasan terjejas meningkat lebih 10,000 meter persegi sejak 2021
  • Kejadian disebabkan hakisan bawah permukaan atau piping erosion, bukan lubang benam
  • Analisis Badan Geologi Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia menyokong penemuan itu
  • Pergerakan tanah dipengaruhi oleh lapisan tanah di atas batuan gunung berapi yang longgar dan rapuh, serta aliran air bawah tanah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!