Keselamatan data negara perlukan reformasi

Laporan Sinar Harian pada Isnin berhubung dakwaan seorang pengguna Facebook yang mendakwa data peribadi seperti nombor kad pengenalan, alamat rumah, nombor telefon, rekod pendaftaran dan lesen kenderaan, maklumat sulit perbankan telah bocor di sebuah laman sesawang.
Laporan Sinar Harian pada Isnin berhubung dakwaan seorang pengguna Facebook yang mendakwa data peribadi seperti nombor kad pengenalan, alamat rumah, nombor telefon, rekod pendaftaran dan lesen kenderaan, maklumat sulit perbankan telah bocor di sebuah laman sesawang.
A
A
A

PEMBONGKARAN mengenai sebuah laman sesawang yang didakwa menjual data peribadi rakyat Malaysia memberi tamparan terhadap isu keselamatan digital negara.

Amat membimbangkan apabila maklumat sensitif seperti nombor kad pengenalan, alamat rumah, rekod pinjaman, malah nombor CVV kad kredit boleh diperoleh dengan hanya beberapa klik serta bayaran serendah RM5.

Bayangkan, betapa mudahnya identiti rakyat Malaysia boleh dicuri, akaun bank diceroboh dan kehidupan terganggu akibat jenayah siber ini.

Kewujudan laman ini tidak mungkin kerja kecil-kecilan, mungkin wujud sindiket terancang yang bijak mengeksploitasi kelemahan sistem keselamatan data.

Isu data peribadi dicuri bukan perkara baharu, tetapi sudah kedengaran sejak sekian lama. Oleh itu, tiada ruang untuk bertolak ansur lagi.

Pihak berkuasa perlu segera bertindak, mengesan dalang di sebalik sindiket ini dan mendakwa mereka tanpa lengah. Jangan biarkan rakyat terus menjadi mangsa kerana kelewatan penguatkuasaan.

Pun begitu, dalam keghairahan melontarkan kemarahan, tidak usahlah kita cepat menuding jari kerana isu keselamatan data adalah cabaran global, bukan semata-mata kegagalan kerajaan.

Bagaimanapun kerajaan perlu proaktif untuk memperkukuhkan sistem siber di negara ini.

Antara tindakan yang boleh diambil ialah menubuhkan pasukan khas keselamatan data nasional secara bersepadu dengan agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan polis siber.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan juga perlu meningkatkan pelaburan dalam teknologi keselamatan terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan pencerobohan awal.

Undang-undang lebih ketat dengan hukuman berat perlu digubal terhadap mana-mana pihak yang membocorkan atau memperdagangkan data rakyat.

Dalam masa sama, kerajaan wajar mewajibkan semua agensi dan syarikat utiliti menjalani audit keselamatan data berkala agar kelemahan dapat ditampung sebelum dieksploitasi.

Di samping tindakan kerajaan, kita sebagai rakyat juga perlu memainkan peranan supaya lebih berhati-hati, jangan sesekali berkongsi maklumat sensitif di platform tidak rasmi dan sentiasa peka terhadap taktik penipuan dalam talian.

Kes pencerobohan data ini mesti dijadikan titik tolak kepada reformasi besar-besaran dalam keselamatan data negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!