Data peribadi dijual: Laksana undang-undang lebih ketat lindungi rakyat

PENDEDAHAN mengenai kebocoran data peribadi rakyat Malaysia sekali lagi mencetuskan kebimbangan besar terhadap tahap keselamatan siber negara.
Data yang dilaporkan boleh diperoleh itu termasuk nombor kad pengenalan, alamat rumah, nombor telefon, rekod pendaftaran kenderaan, maklumat perbankan, malah sehingga nombor pengesahan kad (CVV) tiga digit.
Kebocoran data bukanlah isu baharu, sebaliknya, ia berulang hampir saban tahun dengan pelbagai laporan dan dakwaan tular di media sosial.
Sekiranya isu ini dibiarkan tanpa tindakan tegas, rakyat berisiko berdepan pelbagai bentuk jenayah siber seperti penipuan kewangan, kecurian identiti dan penyalahgunaan maklumat untuk tujuan penipuan komersial.
Lebih membimbangkan, data yang bocor boleh dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab termasuk sindiket antarabangsa bagi tujuan pengubahan wang haram atau eksploitasi ekonomi.
Kebocoran maklumat peribadi juga memberi kesan langsung kepada tahap kepercayaan terhadap sistem kerajaan dan institusi kewangan.
Bagaimana rakyat mahu berurusan secara digital sekiranya mereka merasakan data peribadi tidak dilindungi dengan baik? Situasi ini akhirnya boleh menghalang agenda pendigitalan negara yang sedang giat digerakkan.
Kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya Kementerian Komunikasi, tidak boleh lagi sekadar memberi jaminan kosong.
Perlu ada pelan tindakan jelas termasuk siasatan menyeluruh terhadap punca kebocoran serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Selain itu, penguatkuasaan undang-undang lebih ketat termasuk hukuman maksimum wajar dikenakan terhadap syarikat atau agensi yang cuai menguruskan data.
Isu kebocoran data peribadi bukan lagi sekadar soal teknikal, sebaliknya ia menyentuh soal keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Selagi tiada tindakan tegas serta reformasi menyeluruh dilaksanakan, rakyat akan terus hidup dalam ketakutan menjadi mangsa penipuan siber.
Kerajaan wajar membuktikan kesungguhan mereka bukan sekadar melalui kenyataan, tetapi dengan tindakan konkrit demi melindungi data rakyat yang merupakan aset paling berharga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

