'Letih' hadap banjir setiap tahun

ANAK BUKIT - Penduduk di sekitar Sungai Baru mula resah setiap kali tiba musim hujan berterusan, khususnya bermula September atau Oktober dan berlanjutan sehingga musim tengkujuh.
Difahamkan, masalah banjir di kawasan itu dikatakan berlarutan puluhan tahun dan antara situasi paling buruk ialah ketika banjir besar pada tahun 2010 yang berulang tahun lepas.
Selain faktor cuaca, penduduk mendakwa sistem saliran tidak sempurna, sungai semakin cetek akibat mendapan dan sikap segelintir penduduk membuang sampah ke dalam sungai memburukkan lagi keadaan.
Penduduk Kampung Sungai Baru Tok Keramat, Mohamad Fauzi Awang Lipah, 60, berkata, banjir adalah masalah utama di kawasan itu sejak dia kecil.

“Banjir paling teruk kami hadapi pada tahun 2010 dan tahun lepas. Antara punca banjir di sini kerap dan berulang ialah kerana titi sedia ada dibina agak rendah dan apabila sampah tersangkut, aliran air tersekat dan air pun naik dengan cepat.
“Keadaan bertambah buruk bila air laut pasang dan pintu tandup ditutup, menyebabkan air masuk semula ke kawasan ini,” katanya.
Menurutnya, setakat ini tiga titi sedang dibaik pulih, namun masih terdapat sekurang-kurangnya empat lagi titi lama perlu digantikan dengan titi baharu yang lebih lebar dan dibina lebih tinggi.
“Titi asal dibina rendah, ada yang usang akibat banjir, sebahagian sudah diambil tindakan. Saya harap semua titi lama diganti dengan baharu supaya aliran air lancar dan terus masuk ke laut,” katanya.
Mohamad Fauzi yang juga seorang guru memaklumkan, penduduk pernah beberapa kali mencadangkan supaya rumah pam dibina untuk menyedut air ketika banjir di kawasan tersebut.
Salim Talib, 55, dari Kampung Sungai Baru Hilir pula berkata, Sungai Baru yang dahulunya luas kini semakin sempit dan cetek akibat hakisan, mendapan dan bawaan sampah selepas banjir.
“Masalah utama di sini memang banjir. Jika Kampung Tok Keramat banjir, kami di sini perlu berjaga-jaga sebab aliran air akan melalui kampung ini pula,” kata pegawai Masjid Al Ittihad itu.
Menurutnya, walaupun beberapa titi baharu sedang diganti, masalah banjir tetap menghantui penduduk saban tahun.
“Setiap kali banjir, barang rumah rosak, penat cuci rumah. Kadang-kadang tak sempat selamatkan barang, air sudah masuk. Lepas banjir, sampah pula bertimbun sampai dua hingga tiga lori kena kutip,” jelasnya.
Tambahnya, sungai perlu diselenggarakan atau jajaran dibina bagi mengelak hakisan tebing terus berlaku.
Sementara itu, Iswardi Ahmad Ismara, 45, berkata, antara pengalaman pahit dialami ketika banjir besar ialah apabila set perabot miliknya hanyut dibawa arus.
“Banjir sekarang banyak selut, rumah jadi kotor teruk. Ramai penduduk terpaksa beli pam air untuk mudahkan cuci. Kampung kami ibarat takungan air sebab terima air dari Sungai Jitra dan Sungai Baru selain air bendang,” katanya.
Guru yang juga imam Masjid Al Ittihad itu berkata, penduduk ‘letih’ berdepan situasi sama saban tahun.
'Siapkan segera projek RTB, naik taraf titi'
Penduduk mukim Sungai Baru merangkumi empat kampung iaitu Kampung Sungai Baru Tok Keramat, Kampung Sungai Baru Tengah, Kampung Sungai Baru Hilir dan Kampung Sungai Baru Kuala Sungai mahu penyelesaian segera terhadap masalah banjir.

Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Sungai Baru Tengah, Shahrul Anuar Haron, 57, mendakwa, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Anak Bukit yang terbengkalai antara punca banjir sering melanda.
“Aliran air dari bendang sepatutnya menghala ke sungai dan terus ke laut, tetapi apabila projek RTB ini tergendala, aliran tersekat dan bertembung pula aliran air sungai dari mukim Padang Lalang serta mukim Sungai Baru.
“Ia menyebabkan lebih 600 rumah penduduk berdepan limpahan air dan setiap kali banjir, kampung kami sering terputus hubungan,” katanya.
Beliau berkata, selain projek RTB yang perlu disiapkan segera, titi-titi lama yang usianya hampir 60 tahun dan rendah perlu dinaik taraf kerana menjadi penghalang aliran air serta perangkap sampah.
Tambahnya, penduduk turut bimbang dengan masalah hakisan tebing sungai dan mahu peruntukan disediakan bagi membina jajaran tebing menggunakan bakau untuk menghalang hakisan.
Selain itu, katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu selenggara sungai secara berkala termasuk membuang kelodak di dasar.
Tambah beliau, isu pertindihan fungsi antara Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk tanaman padi dan JPS bagi penyelenggaraan sungai perlu diselaraskan kerana menyukarkan petani dan penduduk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

