Menteri Kewangan Nepal dikejar, diserang ketika protes besar-besaran

Sementara kediaman Perdana Menteri pula dibakar

Rakaman video yang tular menunjukkan Paudel berlari menyelamatkan diri di tengah-tengah kota Kathmandu dengan puluhan penunjuk perasaan mengejarnya.
Rakaman video yang tular menunjukkan Paudel berlari menyelamatkan diri di tengah-tengah kota Kathmandu dengan puluhan penunjuk perasaan mengejarnya.
A
A
A

KATHMANDU – Gelombang protes yang digerakkan golongan muda di Nepal semakin memuncak apabila kediaman Perdana Menteri KP Sharma Oli dibakar, manakala Menteri Kewangan, Bishnu Prasad Paudel turut dikejar dan diserang di jalanan ibu kota.

Rakaman video yang tular menunjukkan Paudel, 65, berlari menyelamatkan diri di tengah-tengah kota Kathmandu dengan puluhan penunjuk perasaan mengejarnya.

Seorang pemuda dilihat datang dari arah bertentangan lalu menendang Paudel sehingga beliau terhumban ke dinding.

Namun, menteri itu segera bangun dan kembali berlari sebelum rakaman terhenti.

Jurucakap polis Kathmandu, Shekhar Khanal, memaklumkan bahawa beberapa kumpulan enggan mematuhi perintah berkurung yang dikuatkuasakan pada Selasa lalu.

“Terdapat penunjuk perasaan di pelbagai lokasi, malah berlaku kes kebakaran dan serangan,” katanya kepada AFP.

Protes bermula pada Isnin lalu bagi mendesak kerajaan menarik balik larangan media sosial dan membanteras rasuah.

Walaupun akses ke aplikasi tersebut dipulihkan, namun demonstrasi terus berlanjutan.

Situasi semakin tegang apabila Oli meletakkan jawatan sehari selepas sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dalam tindakan keras pihak berkuasa antara yang terburuk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

Peletakan jawatan Oli, yang memulakan penggal keempatnya tahun lalu selepas Parti Komunis pimpinan beliau membentuk kerajaan campuran dengan Parti Kongres Nepali berhaluan tengah-kiri, turut diikuti tiga lagi menteri.

Kemarahan rakyat memuncak selepas kerajaan menyekat akses ke 26 platform tidak berdaftar termasuk Facebook, YouTube dan X pada Jumaat lalu di negara Himalaya berpenduduk 30 juta itu.

Bagaimanapun, aplikasi TikTok yang tidak disekat menjadi ruang tular pelbagai video yang membandingkan kesusahan hidup rakyat dengan gaya hidup mewah anak-anak ahli politik.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!