Belanjawan 2026: KPKT kemuka 13 cadangan inisiatif kepada MOF

SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengemukakan 13 cadangan inisiatif utama kepada Kementerian Kewangan (MOF) sebagai sebahagian daripada persediaan menjelang pembentangan Belanjawan 2026.
KPKT dalam kenyataan berkata, cadangan itu disasarkan untuk merancakkan kerangka Ekonomi Madani termasuk membantu rakyat memiliki rumah pertama dengan lebih mudah pada kadar mampu milik melalui pelaksanaan Kempen Pemilikan Rumah Madani (HOC 3.0).
“Kempen ini merangkumi pakej insentif cukai dan bukan cukai yang bertujuan menggalakkan pemilikan rumah di samping merancakkan pertumbuhan sektor hartanah negara sebagai tiang seri ekonomi negara,” katanya pada Jumaat.
Menurut kenyataan KPKT, kementerian itu turut bekerjasama rapat dengan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) dalam penyediaan dan pelaporan data perumahan negara.
Langkah itu diambil bagi memastikan maklumat yang tepat, telus dan seragam dapat disediakan kepada orang ramai serta pihak berkepentingan.
“Kerjasama strategik ini kini diperkukuh melalui pelaksanaan inisiatif Data Tunggal untuk Satu Negara, iaitu kaedah kemasukan data tunggal yang dilaksanakan menerusi Housing Information Management System (HIMS) yang dibangunkan oleh Jabatan Perumahan Negara.
“Sistem bersepadu ini perlu menjadi rujukan utama negara dalam sektor perumahan, sekali gus mampu mengelakkan percanggahan laporan antara pelbagai agensi, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju.
“Dengan adanya data yang tepat dan konsisten, dasar perumahan dapat dirangka secara lebih berkesan, berfokus serta berpaksikan kepada permintaan sebenar rakyat,” menurut kenyataan itu.
KPKT turut memperkenalkan definisi baharu bagi projek sakit untuk memastikan pelaporan dan pemantauan lebih menyeluruh terhadap projek perumahan yang mengalami kelewatan atau terbengkalai.
Projek sakit itu merujuk kepada projek yang gagal disiapkan mengikut tempoh Perjanjian Jual Beli.
“Merujuk kepada laporan akhbar mengenai 100,000 rumah tidak terjual, ia merangkumi data rumah siap tidak terjual, rumah dalam pembinaan tidak terjual dan rumah yang telah diluluskan tetapi belum mula dibina.
“Oleh itu, perlu ditegaskan bahawa berdasarkan data rasmi NAPIC, jumlah rumah siap tidak terjual menunjukkan trend penurunan bagi setiap suku tahun pertama sejak 2022.
“Statistik rasmi adalah seperti berikut: 2022 melibatkan 35,592 unit, 26,872 unit (2023), 24,208 unit (2024) dan 23,515 unit (2025),” jelas kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

