KPKT serah dokumen berkaitan MyKiosk kepada SPRM secara sukarela

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyerahkan dokumen berkaitan projek MyKiosk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis, sebagai tanda komitmen kementerian dalam memastikan ketelusan dan integriti projek tersebut.
Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali menjelaskan, langkah tersebut diambil berikutan aduan daripada pihak tertentu mengenai dakwaan berlaku penyelewengan dalam pelaksanaan projek MyKiosk.
Katanya, KPKT tampil secara sukarela memberikan kerjasama sepenuhnya dengan menyerahkan dokumen berkenaan inisiatif MyKiosk meskipun belum menerima permintaan daripada pihak SPRM.
"Ini membuktikan komitmen tinggi KPKT dalam memperkukuhkan sistem pengurusan dan mematuhi prinsip tadbir urus yang baik.
"KPKT juga ingin memastikan tiada elemen salah guna kuasa atau penyelewengan terlibat dalam pelaksanaan program MyKiosk yang bertujuan untuk memanfaatkan penjaja kecil," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pihaknya sentiasa komited untuk memastikan semua inisiatif dan program kerajaan dilaksanakan dengan penuh integriti.
"Dengan menyerahkan dokumen-dokumen ini kepada pihak SPRM, kami berharap dapat memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa setiap urusan dan pelaksanaan program adalah telus serta mengikut prosedur betul.
"Pihak kementerian juga berharap agar langkah ini dapat memberikan gambaran jelas kepada rakyat bahawa kerajaan sentiasa berusaha mempertingkatkan integriti dalam segala aspek pentadbiran dan perkhidmatan awam," katanya.
Sementara itu dalam perkembangan sama katanya, KPKT telah menyalurkan maklumat terperinci mengenai inisiatif ini melalui saluran media sosial rasmi yang boleh diakses oleh orang awam.
"Semua perolehan serta pelantikan kontraktor MyKiosk telah dilaksanakan oleh 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui sebut harga terbuka. Hasil daripada proses tender tersebut, sebanyak 795 kontraktor telah dilantik oleh PBT di seluruh negara.
"Kos siling bagi MyKiosk 2.0 adalah RM25,000. Harga bagi setiap unit kiosk adalah munasabah dan membolehkan kontraktor bersaing secara adil melalui proses sebut harga yang telus dan terbuka di peringkat PBT masing-masing.
"Kesemua peruntukan berkaitan MyKiosk telah disenaraikan dalam Inisiatif Belanjawan dan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan mengikut prosedur ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
