2,000 etnik Rohingya sertai himpunan tabligh dicari

Tabligh. - Foto Sumber Internet
Tabligh. - Foto Sumber Internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa kini sedang menjejaki kira-kira 2,000 etnik Rohingya yang menyertai Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Pengerusi Kumpulan Kerja Jaringan Hak Asasi Pelarian Rohingya Asia Pasifik, Lilianne Fan berkata, hasil pemeriksaan, beliau mendapati terdapat beberapa ratus etnik Rohingya menyertai perhimpunan yang diadakan akhir bulan lalu.

Katanya, pihak berkuasa termasuk polis, Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama untuk mengenalpasti mereka yang terlibat dengan perhimpunan tersebut.

Walaupun ada yang memberikan kerjasama namun masih ada yang enggan membuat pemeriksaan kerana bimbang ditangkap.

“Satu perkara yang paling penting dan perlu dilakukan sekarang ialah kerajaan perlu memberi jaminan supaya pelarian ini tidak perlu bimbang mereka akan ditangkap dan ditahan.

"Malah mereka yang positif virus berkenaan akan diberikan rawatan secara percuma dan tidak ditahan di hospital," katanya menurut satu laporan media antarabangsa.

Difahamkan terdapat lebih 100,000 etnik Rohingya tinggal di Malaysia selepas meninggalkan Myanmar dan menjadi pendatang asing.

Status mereka menyebabkan pelarian terbabit enggan tampil untuk membuat pemeriksaan koronavirus (Covid-19) walaupun mereka mempunyai gejala penyakit itu.

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa Malaysia berhadapan dengan kesukaran untuk menjejaki mereka yang terlibat dengan perhimpunan itu kerana mereka tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.

Perhimpunan itu disertai seramai 16,000 orang peserta termasuk etnik Rohingya dan 1,500 umat Islam yang datang dari serata Asia.

Kini terdapat 670 kes Covid-19 di Asia Tenggara yang terbabit dengan perhimpunan itu termasuk 576 di Malaysia, 61 (Brunei), 22 (Kemboja), lima (Singapura), tujuh (Thailand) dan satu masing-masing di Vietnam dan Filipina.

Malaysia kini dilaporkan mempunyai sebanyak 900 kes yang merupakan tertinggi di Asia Tenggara.

Pihak berkuasa Malaysia cuba untuk mengesan jemaah tabligh tersebut, namun kira-kira 4,000 orang lain masih belum ditemui.

Menurut laporan media itu, seorang buruh binaan etnik Rohingya berusia 39 tahun yang kini tinggal di Pulau Pinang mendedahkan dia tinggal beberapa hari di masjid tersebut bersama 24 orang sahabatnya.