18 warga Myanmar ditahan tinggal tanpa permit

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan seramai 18 warga Myanmar disyaki melanggar syarat dan permit berada di negara ini hasil serbuan di dua pusat hiburan warga asing di Nusa Bestari dan Mutiara Rini di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, warga Myanmar terdiri daripada 13 lelaki dan lima wanita itu dipercayai merupakan pekerja dan pelanggan di kedua-dua pusat hiburan berkenaan.
Menurutnya, kesemua mereka yang berusia antara 25 hingga 41 tahun itu ditahan kerana berada di negara ini tanpa sebarang pas atau permit yang sah.
Bagaimanapun katanya, hasil semakan kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala hasil ujian saringan air kencing pula didapati negatif.
“Polis turut merampas tiga unit televisyen pelbagai jenama, pembesar suara (tujuh), Wifi (dua), telefon bimbit (tujuh), set bola snuker (tujuh), buku resit perniagaan (tiga), pembesar suara (satu), mixing amplifier (dua), mikrofon (enam) dan wang tunai berjumlah RM3,207,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, siasatan dijalankan bawah peruntukan undang-undang melibatkan Seksyen 6(2) enakmen hiburan dan tempat-tempat hiburan negeri Johor iaitu beroperasi tanpa lesen hiburan yang sah.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali," tambahnya.
M Kumarasan berkata, kes juga disiasat bawah Seksyen (6)(1)(c) Akta Imigresen 1953/68 iaitu tinggal atau berada di Malaysia tanpa apa-apa pas atau permit yang sah dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh juga dikenakan sebatan tidak lebih enam kali.
“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas atau permit dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM1,000, penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, kesemua suspek kini direman selama 14 hari mulai Ahad hingga 13 September depan bagi tujuan siasatan.
“Polis Iskandar Puteri akan terus membanteras aktiviti hiburan yang tidak mematuhi undang-undang dan memberikan amaran agar pihak-pihak terlibat menghentikan kegiatan mereka.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau pusat kawalan daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 @ hotline 07-5114486.," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
