Padah simpan, guna LPG tanpa permit

Jegan (tengah) bersama pegawai kanan KPDN Pulau Pinang memeriksa sebahagian tong LPG yang ditemui di kilang terbabit pada Rabu.
Jegan (tengah) bersama pegawai kanan KPDN Pulau Pinang memeriksa sebahagian tong LPG yang ditemui di kilang terbabit pada Rabu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan dua aktiviti penyelewengan barang kawalan membabitkan Gas Petroleum Cecair (LPG) dalam dua serbuan berasingan sekitar Bukit Minyak dan Juru, di sini pada Rabu.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, RS Jegan berkata, serbuan Ops Gasak itu dijalankan hasil risikan selama dua minggu sebelum digempur oleh dua pasukan penguat kuasa bermula jam 11.30 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan pertama mendapati sebuah kilang menggunakan LPG tanpa permit sah yang dikeluarkan pengawal bekalan.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, pasukan penguat kuasa menemui lapan silinder LPG jenis ‘baby tank’ yang sebahagiannya masih berisi serta sedang digunakan.

“Daripada siasatan yang dilakukan, didapati pihak kilang terbabit membeli LPG berkenaan dengan cara yang sah termasuk mengikut harga industri, namun kesalahan mereka ialah menggunakan dan menyimpan LPG berkenaan tanpa permit yang sah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan, pada Rabu.

Sementara itu, beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kedua pula mendapati sebuah premis menjual barang kawalan kepada pihak yang tidak mempunyai lesen sah, sekali gus melanggar peraturan sedia ada.

Katanya, hasil kedua-dua serbuan itu, penguat kuasa menyita lapan silinder LPG berkapasiti 200 kilogram setiap satu dengan anggaran rampasan seberat 1,200 kilogram bernilai kira-kira RM4,000.

“Secara keseluruhan, nilai rampasan di kedua-dua lokasi berjumlah lebih RM58,000.

“Tiga individu terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki warga tempatan berusia 25 hingga 50 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Jegan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.

Jelasnya, jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda sehingga RM1 juta dan bagi kesalahan berikutnya tidak lebih RM3 juta atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah sehingga RM2 juta manakala kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!