Terma perundangan tidak jelas, MP PKR gesa pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012

SHAH ALAM- Pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 mesti dilaksanakan dengan terma-terma yang bersesuaian dengan aspek perundangan dan perlembagaan keselamatan awam.
Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, ini penting bagi mencapai keseimbangan antara kebebasan berperlembagaan dan tanggungjawab menjaga keselamatan negara.
Menurutnya, perkara tersebut dirujuk berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan sebahagian Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana gagal menetapkan piawaian jelas mengenai maksud ‘menghina’ atau ‘menjengkelkan’.
Katanya, kebebasan bersuara menjadi tidak nyata dan penguatkuasaan boleh bersifat sewenang-wenangnya apabila perundangan tidak jelas.
“Sehubungan itu, saya menggesa kerajaan untuk segerakan pindaan yang perlu kepada Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi memastikan definisi ‘perhimpunan’ lebih jelas dan menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara aman.
“Ini adalah masa yang tepat berikutan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Seksyen 9(5) sebagai tidak berperlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah William, sama penting juga untuk menyemak semula Seksyen 9(1) bagi memberikan definisi yang lebih komprehensif mengenai perhimpunan yang memerlukan notifikasi kepada pihak polis.
Jelasnya, pindaan itu bukan sahaja menjamin hak rakyat untuk mengadakan perhimpunan aman, malah memastikan peranan kerajaan mengekalkan keselamatan negara dan ketenteraman awam dapat dijalankan.
“Saya merujuk kepada jawapan Menteri Dalam Negeri terhadap soalan di Dewan Rakyat yang menjelaskan definisi perhimpunan di bawah Seksyen 9(1) akta tersebut ialah ‘suatu perhimpunan sesuatu bilangan orang yang disengajakan dan sementara di sesuatu tempat awam, sama ada atau tidak perhimpunan itu diadakan di suatu tempat tertentu atau bergerak’.
“Namun, penggunaan istilah umum seperti ‘sesuatu bilangan’ dan ‘sesuatu tempat awam’ menimbulkan kekaburan serta risiko tafsiran berbeza yang boleh menjejaskan hak rakyat,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

