Kerajaan digesa semak semula Akta Perhimpunan Aman 2012 - Pas

Takiyuddin Hassan. - Foto Bernama
Takiyuddin Hassan. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa menyemak semula Akta Perhimpunan Aman 2012 secara menyeluruh supaya ia mencerminkan semangat Perlembagaan dan prinsip hak asasi manusia sejagat di negara ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 pada Selasa.

Ujar beliau, kerajaan juga perlu dengan serius menyemak semula dan memansuhkan peruntukan akta yang boleh disalah guna untuk menyekat kebebasan bersuara, termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Perkara ini juga selaras dengan janji pilihan raya Pakatan Harapan sebagaimana yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 mereka,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman, yang berkaitan dengan keperluan memberikan notis untuk himpunan aman, adalah tidak berperlembagaan.

Keputusan tersebut dibuat oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Ujar Takiyuddin, keputusan berkenaan merupakan suatu penegasan terhadap supremasi Perlembagaan dan merupakan satu mesej jelas bahawa hak asasi rakyat tidak boleh digugat oleh peruntukan undang-undang yang menindas atau berlebihan.

Menurutnya, parti juga percaya keputusan tersebut akan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kebebasan bersuara dan berhimpun sebagai sebahagian daripada ciri-ciri penting dalam sistem demokrasi.

“Seksyen 9(5), yang memperuntukkan penalti jenayah terhadap penganjur perhimpunan yang gagal memberikan notis kepada pihak polis dalam tempoh lima hari sebelum tarikh perhimpunan, telah lama dianggap sebagai satu bentuk sekatan tidak munasabah terhadap hak dan kebebasan berhimpun.

Artikel Berkaitan:

“Kini, dengan keputusan ini, pasti rakyat Malaysia lebih yakin bahawa pandangan mereka boleh disuarakan tanpa ancaman pendakwaan yang tidak berasas,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!