Mufti New Zealand kagum, pertama kali sertai Malaysia #QuranHour

Sheikh Mohammad Amir
Sheikh Mohammad Amir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penganjuran siri Malaysia #QuranHour yang kini memasuki tahun ke-11 mempunyai keunikan dan potensinya tersendiri dalam menarik minat orang ramai untuk mencintai al-Quran.

Mufti New Zealand, Sheikh Mohammad Amir berkata, ini merupakan kali pertama beliau menghadiri program Malaysia #QuranHour 2025 dan dalam masa sama memuji kelancaran atur cara yang berlangsung selama satu jam itu.

Beliau mengakui program tersebut diisi dengan alunan ayat suci al-Quran oleh beberapa qari berbeza yang diselang-selikan dengan terjemahan maksud, sekali gus menjadikan peserta tidak berasa bosan.

Justeru, katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan siri #QuranHour dapat dilaksanakan di New Zealand suatu hari nanti memandangkan ia berkonsepkan membaca, memahami dan menghafal al-Quran.

“Saya rasa ini satu program yang sangat menarik dan ada potensi untuk berkembang maju di samping memberikan kesedaran kepada umat Islam tentang al-Quran.

“Mereka boleh bermuhasabah sambil menelaah setiap bait ayat daripada kitab suci ini untuk dijadikan bekalan di akhirat, Insya-ALLAH.

“Sudah semestinya saya berbesar hati dan gembira sekiranya ia dapat dilaksanakan di setiap pelusuk dunia termasuk di New Zealand suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas Malaysia #QuranHour 2025 yang diadakan di lokasi perdana, Masjid Negara pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; serta Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir ialah Duta Senegal ke Malaysia, Abdoulaye Barro; Duta Turkiye, Emir Salim Yuksel; Duta Jordan, Dr Ismael Maaytah; dan Duta Mesir, Karim Mohamed Elsadat Abdelkarim.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub, bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Marhaini Yusoff turut hadir selaku penganjur Malaysia #QuranHour 2025.

Sheikh Mohammad Amir berpandangan Malaysia memang terkenal dengan penganjuran program berunsur keagamaan dan ia wajar dijadikan antara tarikan pelancongan Islamik.

“Saya sudah banyak kali datang ke Malaysia untuk menghadiri ceramah dan persidangan. Negara ini memang terkenal dengan pelbagai program keagamaan.

“Banyak perkara positif boleh didapati di Malaysia dan kami sebagai pengunjung luar sentiasa merasakan negara ini bagus serta banyak yang boleh dimanfaatkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!