Angkat Malaysia #QuranHour dalam kalendar tahunan pelancongan negara - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita selepas Malaysia #QuranHour 2025 di Masjid Negara pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita selepas Malaysia #QuranHour 2025 di Masjid Negara pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN-MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Program Malaysia #QuranHour yang sudah memasuki edisi ke-11 disyor untuk dimasukkan dalam kalendar rasmi pelancongan negara pada tahun-tahun mendatang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, agenda tersebut perlu diangkat sebagai usaha mempromosikan pelancongan Islamik di Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, cadangan berkenaan akan dibawa ke peringkat Kabinet untuk dipertimbangkan.

“Penganjur telah mencadangkan kepada saya supaya pada tahun-tahun mendatang ia dimasukkan dalam kalendar pelancongan Malaysia.

“Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kabinet, Insya-ALLAH akan membawa perkara ini dan sebenarnya tidak ada masalah besar untuk dimasukkan.

“Ia adalah sebahagian daripada Islamic tourism yang akan kita promosikan bersama-sama dengan beberapa acara lain sempena Maulidur Rasul dan peristiwa Islam lain di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas Malaysia #QuranHour 2025 di Masjid Negara pada Sabtu.

Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu mengetengahkan misi #ResetRasa selari dengan tema besar iaitu “Merdeka Dengan Rasa” berpandukan tiga surah utama: surah al-Saff, surah al-Balad dan surah Ali’ Imran.

Malaysia #QuranHour 2025 menyeru pemimpin membina dasar dengan jiwa, penjawat awam melaksanakan amanah dengan rasa, manakala rakyat bangkit membela yang tertindas.

Dengan berpaksikan al-Quran, ia menjadi jalan menuju sebuah negara Madani yang benar-benar merdeka dengan rasa, membentuk bangsa berakhlak luhur, berempati tinggi dan meletakkan ALLAH SWT sebagai pusat perjuangan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas tema “Merdeka Dengan Rasa”, Ahmad Zahid berkata, ia selari dengan sambutan kemerdekaan negara ke-68 dan menjelang Hari Malaysia ke-62.

“Kemerdekaan adalah untuk seluruh rakyat Malaysia. Kita tidak harus melayani perbezaan warna politik, budaya, bangsa atau agama sehingga menjejaskan perpaduan dalam meraikan kemerdekaan.

“Insya-ALLAH hubungan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, serta kepelbagaian keturunan di negara ini harus mencerminkan penyatuan pemikiran dan hati nurani agar kita benar-benar bertindak sebagai bangsa Malaysia,” tegas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!