Perjumpaan Saff 1 gerakkan kesedaran kesihatan berpandukan al-Quran

SHAH ALAM – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengadakan perjumpaan sulung secara hibrid bersama barisan Saff 1: Kesejahteraan & Penjagaan Kesihatan melibatkan golongan berkepakaran dalam bidang kesejahteraan dan penjagaan kesihatan, susulan penganjuran World #QuranConvention di Karangkraf di sini pada Isnin.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, Saff 1 merupakan barisan hadapan pembangunan kesihatan ummah yang digerakkan berteraskan al-Quran sebagai panduan utama kehidupan.
“World #QuranConvention baru-baru ini menjadi platform penting yang menyatukan pemimpin dasar, pemimpin industri dan masyarakat di bawah jaringan Sahabat al-Quran.
"Gabungan semua barisan ini membolehkan pembinaan masyarakat yang berdaya saing, berintegriti dan berteraskan pembangunan insan,” katanya.
Beliau berkata, hasil perbincangan dan wacana sepanjang konvensyen telah mengaktifkan #Saff12Movement iaitu satu gerakan strategik merangkumi 12 sektor utama pembangunan ummah.
Beberapa mesyuarat susulan diadakan bagi memastikan pelaksanaan gerakan ini dapat diteruskan secara berfasa dan memberi impak yang berpanjangan.
#Saff12Movement membina barisan hadapan ummah melalui 12 saf strategi atau disebut wilayah, iaitu Saff 1: Kesejahteraan & Penjagaan Kesihatan; Saff 2: Pendidikan & Pembelajaran Sepanjang Hayat; Saff 3: Teknologi Kewangan (Fintech) & Kewangan Islam; Saff 4: Pertanian & Jaminan Makanan; Saff 5: Teknologi & Inovasi; Saff 6: Pembangunan Belia & Kepimpinan; Saff 7: Seni, Budaya & Media; Saff 8: Pemerkasaan Wanita; Saff 9: Alam Sekitar & Tindakan Iklim; Saff 10: Keusahawanan & Ekonomi Halal; Saff 11: Pembangunan Komuniti & Kebajikan; dan Saff 12: Tadbir Urus & Dasar Awam.
Marhaini berkata, WUIF konsisten menjadikan al-Quran sebagai sistem operasi kehidupan sejak memulakan kajian terhadap kitab suci itu pada tahun 2020. Hasil kajian mendapati 10 daripada 30 juzuk al-Quran berkait rapat dengan aspek pemakanan dan kesejahteraan manusia.
“Al-Quran bukan sekadar dibaca, tetapi perlu difahami dan diamalkan sehingga menjadi panduan sebenar dalam kehidupan, termasuk dalam aspek kesihatan, ekonomi dan pembinaan masyarakat yang seimbang dari segi fizikal, mental, sosial dan rohani,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail berkata, gerakan Saff 1 memberi penekanan kepada pembinaan kerangka fikir berasaskan wahyu dengan menggabungkan kefahaman al-Quran dan kepakaran profesional.
“Pendekatan Heaven to Earth (HTE) ini melibatkan kolaborasi antara ilmuwan agama dan pakar perubatan untuk membimbing saf hadapan pembangunan kesihatan ummah secara holistik,” katanya.
Beliau menjelaskan, inisiatif tersebut bermula dengan mengenal pasti ayat-ayat al-Quran berkaitan kesihatan yang akan ditadabbur dan dihuraikan oleh pakar sebelum diterjemahkan kepada pelbagai bentuk inovasi.
Antara bentuk pelaksanaan termasuk penghasilan kandungan YouTube, penulisan artikel, podcast serta kempen kesedaran awam, di mana satu ayat al-Quran berpotensi melahirkan pelbagai idea dan pendekatan praktikal.
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan (KASIH) Malaysia, Datin Seri Azlin Hezri yang hadir berkata, usaha mengembalikan masyarakat Islam kepada al-Quran perlu digerakkan secara kolektif dan berterusan.
Menurut beliau, al-Quran diturunkan sebagai petunjuk kepada mereka yang benar-benar beriman, bukan sekadar Muslim pada zahir.
"Gerakan berteraskan al-Quran adalah pendekatan paling berkesan untuk menggerakkan umat, khususnya dengan melibatkan golongan muda sebagai pewaris perjuangan Islam.
“Kepentingan menjaga kesihatan adalah amanah ALLAH SWT, termasuk mengamalkan gaya hidup sihat serta memberi keutamaan kepada pencegahan penyakit.
"Kesejahteraan tubuh badan adalah asas kekuatan ummah. Pencegahan lebih baik daripada rawatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
