'Al-Quran tegaskan pentingnya pemimpin beriman pandu masyarakat'

JENGKA – Dalam al-Quran terkandung panduan memilih pemimpin beriman dan jika tersalah membuat pilihan ia boleh membawa kehancuran moral dan sosial.
Penyelaras Rumah Ngaji Kak Noor, Ranjani Abd Karim berkata, pengajaran itu terdapat dalam Surah Al-Balad dan Surah As-Saff yang boleh dijadikan pedoman umat Islam dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, surah Al-Balad mengingatkan bahawa hidup manusia penuh cabaran manakala pemimpin beriman menjadi panduan penting dalam membimbing masyarakat ke arah kebaikan.
"Pemimpin beriman bukan sekadar tanggungjawab politik, jadi orang yang memimpin tetapi tidak menghayati al-Quran tetap tidak layak memimpin.
"Jika tersilap memilih, ibarat menaiki kapal yang akan terjunam ke neraka....walau (pemimpin) bernama Islam, namun jika tidak menghayati al-Quran, sama sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Program Malaysia #QuranHour yang bertemakan 'Merdeka dengan rasa' dianjurkan Rumah Ngaji Kak Noor dengan kerjasama penghuni pondok Muslimat Darul Iman, Jengka.
Hampir 20 penghuni di pondok itu turut mengikut program itu secara serentak di seluruh negara.
Ranjani bertindak sebagai pentadabbur dalam program itu manakala bacaan dua surah, Al-Balad dan As-Saff, diketuai penghuni pondok persendirian. iaitu Inson Ahmad dan Sepiah Ismail.
Beliau berkata, dalam surah Al-Balad turut menekankan golongan perlu disantuni iaitu mereka yang ditindas seperti orang berhutang, mangsa buli dan golongan tertindas lain.

Selain itu, katanya ia juga menyentuh tentang mereka yang lapar, anak yatim dan fakir miskin sebagai sebahagian tuntutan kemerdekaan sebenar.
“Kita dapat lihat daripada surah ini adanya lima ganjaran yang dijanjikan iaitu selamat daripada azab neraka, diampuni dosa, masuk ke syurga, memperoleh pertolongan Allah serta mendapat kesenangan di dunia,” jelasnya.
Menyusuri teladan surah As-Saf, Rajani memberitahu, pada ayat ke-14, ALLAH merakamkan kisah Nabi Isa AS yang pernah bertanya kepada para pengikutnya: “Siapakah penolong-penolongku untuk (menegakkan agama) Allah?”
Katanya, pengikut setia yang dikenali sebagai al-Hawariyyun kemudian menyahut seruan itu dengan menyatakan kesediaan mereka menjadi penolong agama Allah.
"Itulah contoh menunjukkan betapa pentingnya sokongan dan kesatuan antara pemimpin dan pengikut untuk menegakkan kebenaran, yang wajar dijadikan panduan pada masa kini,” ujarnya
Ranjani memaklumkan, kesimpulan yang boleh direnungi dalam Surah As-Saf melalui tema ‘Merdeka dengan Rasa’ ialah keperluan menyantuni empat golongan iaitu pemimpin, pembuat dasar (parlimen), penjawat awam dan rakyat.
Dalam pada itu, beliau memberitahu ALLAH sentiasa menurunkan pertolongan kepada mereka yang menegakkan kebaikan dan sokongan terhadap misi dakwah akan membuka jalan ke syurga serta mengelak balasan neraka.
“Hari ini kita tak nampak, tetapi bantuan ALLAH wujud dalam pelbagai bentuk..contohnya, kejadian pelik berlaku di Gaza.
"Itu maksudnya, pasti ada pertolongan pada Allah dan kita yang menyokong bersama-sama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

