Aktiviti matahari faktor tambahan cetus gempa bumi

Laporan Sinar Harian mengenai Segamat hadapi gempa bumi ke-6 dalam masa seminggu pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian mengenai Segamat hadapi gempa bumi ke-6 dalam masa seminggu pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Aktiviti matahari berkemungkinan menjadi faktor penguat tambahan kepada kejadian gempa bumi seperti yang berlaku di Segamat, Johor.

Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Sharifah Nurul Aisyah Syed Zafar berkata, walaupun faktor utama gempa bumi adalah pergerakan plat tektonik, namun aktiviti suria tidak boleh diketepikan sebagai pencetus kepada pelepasan tenaga pada zon sesar lama.

Menurutnya, gempa bumi berlaku apabila tekanan pada batuan di sepanjang retakan (sesar) melebihi kekuatan batuan itu sendiri.

"Malaysia dianggap kawasan stabil kerana jauh daripada Lingkaran Api Pasifik, namun tidak sepenuhnya kebal daripada gempa bumi.

"Kejadian gempa bumi di Johor misalnya adalah disebabkan kewujudan sesar kuno Mersing yang terbentuk jutaan tahun lalu.

"Gempa ini dikenali sebagai intraplate earthquake iaitu berlaku dalam plat itu sendiri, berbeza dengan gempa di sempadan plat seperti di Sumatera," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) universiti berkenaan berkata, aktiviti matahari seperti letupan suria (solar flare), lontaran jisim korona (CME) dan lubang korona boleh menghentam magnetosfera bumi hingga menghasilkan arus elektrik dalam atmosfera dan kerak bumi yang dikenali sebagai telluric currents.

Katanya, kesan arus elektrik ini berpotensi mengubah tekanan pada zon sesar.

"Jika sesar sudah berada pada tahap kritikal, gangguan kecil daripada ribut geomagnet boleh menjadi pencetus pelepasan tenaga sehingga tercetusnya gempa.

Artikel Berkaitan:

"Statistik juga menunjukkan korelasi antara fasa aktiviti matahari tinggi dengan peningkatan kadar gempa sederhana.

"Sebab itu banyak model ramalan gempa cuba dibangunkan berasaskan data magnetik dan cuaca angkasa.

"Penggunaan data yang banyak dan lebih sensitif seperti minit dan saat diperlukan untuk pengukuhan dan pembuktian kajian ini," jelasnya.

Sharifah Nurul Aisyah berkata, gegaran gempa bumi di Segamat walaupun kecil tetap dirasai masyarakat setempat dan memberi peringatan jelas bahawa Malaysia tidak terkecuali daripada ancaman bencana itu.

"Faktor geologi bumi memang menjadi punca utama, namun kajian membuktikan aktiviti matahari turut menyumbang sebagai faktor penguat yang perlu diberi perhatian dalam persediaan ramalan dan mitigasi gempa bumi pada masa depan," katanya.

Pada Sabtu, gempa bumi lemah sekali lagi melanda Segamat dengan magnitud 2.7 pada jam 7.29 pagi.

Kejadian itu menjadikan ia gempa bumi keenam yang direkodkan di daerah berkenaan sejak Ahad lalu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan gegaran berpusat kira-kira dua kilometer barat laut Segamat dengan kedalaman 10 kilometer.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!