Polis lengkapkan kertas siasatan pemandu e-hailing cabul kehormatan penumpang

JOHOR BAHRU – Polis Johor kini sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes cabul kehormatan yang melibatkan seorang pemandu e-hailing, sebelum dirujuk ke peringkat seterusnya.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek yang terlibat merupakan seorang penjawat awam dan kertas siasatan perlu dirujuk terlebih dahulu ke Pejabat D5 (Perundangan), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Jelas beliau, selepas kertas siasatan akan dirujuk, ia akan diserahkan kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor.
"Kertas siasatan berkenaan dijangka dirujuk ke Pejabat D5 Bukit Aman dalam masa terdekat bagi mendapatkan pandangan perundangan sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
“Setakat ini, suspek telah dibebaskan dengan jamin polis pada hari ini sementara siasatan lanjut dijalankan dan menunggu keputusan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada Khamis lalu, Polis Johor mengesahkan telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun berhubung kes cabul kehormatan terhadap seorang wanita warga Vietnam yang tular menerusi video di media sosial sejak Isnin.
Ab Rahaman berkata, laporan polis diterima pada Rabu daripada mangsa yang mendakwa menjadi mangsa serangan seksual oleh pemandu e-hailing di dalam kenderaan yang digunakan suspek.
Sebelum itu, tular sebuah video yang memaparkan seorang pemandu e-hailing melakukan gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita.
Video yang dirakam sendiri oleh penumpang terbabit menunjukkan pemandu berkenaan menghulurkan tangan ke belakang untuk menyentuh wanita tersebut, namun ditepis mangsa.
Pada Selasa lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membatalkan Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) pemandu Grab yang melakukan gangguan seksual ke atas penumpang di Johor Bahru, baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Polis Johor sedang melengkapkan kertas siasatan kes cabul kehormatan oleh pemandu e-hailing
- Suspek adalah penjawat awam dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat D5 Bukit Aman
- Selepas rujukan, kertas siasatan akan diserahkan ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor
- Suspek telah dibebaskan dengan jamin polis sementara menunggu keputusan siasatan
- Video yang tular menunjukkan pemandu e-hailing mencabul wanita warga Vietnam dalam kenderaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

