Solat hajat mohon keselamatan susulan gempa bumi di Segamat

JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengarahkan semua masjid dan surau Jumaat di negeri ini melaksanakan solat hajat serta doa selamat sebagai ikhtiar memohon perlindungan daripada ALLAH SWT agar rakyat Johor dijauhkan daripada sebarang bencana.
Arahan itu susulan beberapa kejadian gempa bumi lemah yang dikesan berlaku di Segamat sejak minggu lalu, termasuk gegaran terbaharu berukuran 3.4 magnitud pada jam 4.24 pagi Jumaat.
Sebelum itu, gegaran bermagnitud 2.5 turut dikesan pada jam 7.56 malam Khamis, manakala pada Rabu, satu gegaran direkodkan pada jam 8.59 pagi dengan magnitud 3.2.
Gegaran berkenaan turut dilaporkan dirasai di beberapa kawasan di negeri ini serta selatan Pahang.
Terdahulu, pada 24 Ogos lalu, MetMalaysia mengesahkan kejadian gempa bumi lemah berukuran magnitud 4.1 berlaku di Segamat pada jam 6.13 pagi, disusuli satu lagi gegaran di Yong Peng pada jam 9 pagi dengan kekuatan magnitud 2.8 pada kedalaman 10 kilometer.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

