Gempa bumi Segamat: Agong titah semua masjid dan surau di Johor laksana solat hajat, doa selamat

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan semua masjid dan surau di Johor mengadakan solat hajat serta doa selamat susulan enam gegaran yang melanda Segamat sejak Ahad lalu.
Seri Paduka Baginda bertitah memohon perlindungan ALLAH SWT agar rakyat sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah dan bencana susulan kejadian berkenaan.
Seri Paduka Baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut berdoa agar negeri Johor dan seluruh rakyat Malaysia berada dalam keadaan aman, selamat serta dijauhkan daripada malapetaka.
Titah itu dizahirkan Seri Paduka menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Yang di-Pertuan Agong pada Sabtu.
Terdahulu, media melaporkan gempa bumi lemah sekali lagi melanda Segamat pada Sabtu dengan magnitud 2.7 pada jam 7.29 pagi.
Kejadian itu menjadikan ia gempa bumi keenam yang direkodkan di daerah berkenaan sejak Ahad lalu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan gegaran berpusat kira-kira dua kilometer barat laut Segamat dengan kedalaman 10 kilometer.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
