RUU Pekerja Gig 2025 beri sinar baharu

SHAH ALAM – Harapan besar disandarkan rakan-rakan pemandu E-Hailing dan penghantar P-Hailing agar Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 mampu menyelesaikan isu yang membelenggu mereka sejak sekian lama.
Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar Malaysia) berkata, antara perkara utama yang diberi perhatian termasuk kadar tambang perkhidmatan penumpang E-Hailing.
"Selain itu, isu kadar upah bagi perkhidmatan pengambilan dan penghantaran barangan serta makanan P-Hailing.
"Semoga harapan ini direalisasikan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, RUU Pekerja Gig 2025 yang bakal membolehkan lebih 1.2 juta pekerja sektor itu mendapat hak rundingan gaji dan syarat kerja, diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Selepas tujuh tahun digubal, undang-undang itu akhirnya diluluskan setelah dibahaskan oleh 23 anggota Dewan Rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang.
RUU berkenaan meraih sokongan majoriti ahli Parlimen melalui undian suara pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15.
Penghantar Malaysia memberitahu, Malaysia kini menjadi antara negara yang mempunyai undang-undang khusus untuk pekerja gig, termasuk sektor E-Hailing dan P-Hailing dengan kelulusan itu.
Dalam pada itu, persatuan tersebut menambah bahawa tanggungjawab membawa suara ahli akan terus diteruskan.
Tegasnya, mereka komited memastikan pelaksanaan RUU Pekerja Gig 2025 berjalan lancar dan memberi manfaat kepada semua.
"Kami akan terus bersuara demi kebajikan rakan-rakan pemandu E-Hailing dan rakan-rakan penghantar P-Hailing," menurut kenyataan itu lagi.
Dalam perkembangan sama, persatuan itu menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat termasuk kakitangan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

