ITC sokong Malaysia #QuranHour, tarikan pelancongan Islam

KUALA LUMPUR – Islamic Tourism Centre (ITC) menyokong penganjuran Malaysia #QuranHour yang akan berlangsung pada 30 Ogos ini sebagai usaha memperkukuh pelancongan Islam melalui nilai al-Quran.
Menanggung Tugas Ketua Pengarah ITC, Nur Alyssa Coraline Yussin berkata, program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu bukan sahaja mengangkat penghayatan al-Quran di peringkat nasional, malah mampu menarik minat pelancong luar untuk melihat bagaimana Malaysia memartabatkan al-Quran dalam kehidupan masyarakat.
“Malaysia #QuranHour membawa mesej kesatuan, keharmonian dan nilai sejagat yang selari dengan misi pelancongan Islam. Ia memberi gambaran kepada dunia bahawa Malaysia bukan sahaja destinasi pelancongan, tetapi juga pusat rujukan gaya hidup Islam yang sederhana dan berimbang.”
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Islamic Tourism Month yang bermula pada 18 Ogos hingga 30 September, yang dirasmikan beliau bagi mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
ITC terus memperkukuh sokongan terhadap kempen lain seperti World #QuranHour dan World #QuranConvention yang dibawakan WUIF dengan menyebarluaskan promosi program itu ke peringkat antarabangsa melalui rakan strategik dalam dan luar negara.
“Pada peringkat awal, bahan promosi lebih tertumpu dalam bahasa Melayu, namun selepas penambahbaikan ia turut disediakan dalam bahasa Inggeris. Ini membolehkan capaian dan penerimaan kempen lebih meluas,” katanya.
ITC turut bekerjasama dengan rakan media dalam penyebaran maklumat bagi memastikan kempen Malaysia #QuranHour dimanfaatkan secara optimum. Pendekatan interaksi al-Quran melalui baca, faham dan amal diyakini mampu membina kekuatan rohani, bahkan menjadi medium menyatukan rakyat pelbagai latar belakang.
Tambahnya, ITC mencadangkan supaya program berkenaan pada masa depan digabungkan dengan pakej penginapan dan pelancongan melalui kerjasama pemain industri.
Usaha ini dijangka memberi kemudahan kepada peserta menyertai program dengan lebih selesa, di samping berpeluang mengikuti aktiviti sampingan seperti lawatan yang memperkayakan lagi pengalaman mereka.
Sebagai agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), ITC menyokong penuh usaha WUIF dalam mengangkat Surah al-Saff yang membawa tema Malaysia #QuranHour, “Merdeka dengan rasa” sebagai platform membina jiwa merdeka.
“Pelancongan Islam bukan sekadar pengalaman fizikal, tetapi perlu dihidupkan dengan ‘rasa’ yang membentuk jiwa dan identiti. Nilai empati, simpati dan keprihatinan yang semakin terhakis dalam masyarakat perlu dipulihkan melalui pendekatan berteraskan al-Quran.”
Malaysia kini terus melangkah ke hadapan sebagai destinasi pelancongan Islamik terkemuka dunia melalui pelbagai inisiatif strategik yang digerakkan ITC.
Usaha memperkukuh sektor ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada industri pelancongan negara, malah melonjakkan imej Malaysia sebagai model negara Islam moden yang progresif.
Beliau berkata, pelancongan Islamik kini semakin mendapat perhatian dunia kerana ia menawarkan pengalaman berbeza yang menitikberatkan kesejahteraan jasmani, rohani dan budaya.
“ITC komited memastikan pelancong Muslim dan bukan Muslim dapat merasai keunikan produk pelancongan Islamik yang bukan hanya terhad kepada makanan halal, tetapi turut merangkumi hospitaliti, gaya hidup, seni bina, fesyen, kesihatan dan kesejahteraan,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Malaysia #QuranHour, sila layari Facebook QuranHour.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
