50 Rumah Ngaji di Johor turut serta Malaysia #QuranHour

JOHOR BAHRU – Malaysia #QuranHour 2025 yang bakal berlangsung pada 30 Ogos ini tampil dengan kelainan apabila lebih 50 Rumah Ngaji di Johor akan turut serta menganjurkan program berkenaan secara serentak di lokasi masing-masing.
Penyelaras Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji Negeri Johor (PPRNNJ), Rodziah Kamal berkata, pendekatan itu bertujuan memberi peluang kepada penggerak Rumah Ngaji di seluruh negeri memainkan peranan aktif, bukan sekadar hadir sebagai peserta.
“Selama ini, kita yang mengatur dan mereka hadir. Tetapi kali ini, kita ingin lihat bagaimana mereka sendiri boleh menganjurkan Malaysia #QuranHour di komuniti masing-masing.
“Keterlibatan ini sangat kami alu-alukan kerana ia akan mengukuhkan jaringan Rumah Ngaji di Johor,” katanya.
Beliau menambah, Malaysia #QuranHour bukan sekadar program tahunan, sebaliknya satu ruang penting untuk umat Islam kembali menghayati kandungan al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Inisiatif ini bukan sahaja mendekatkan umat Islam dengan al-Quran, malah memupuk semangat kesatuan dan meningkatkan nilai rohani dalam masyarakat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

