Malaysia #QuranHour: Masjid Sultanah Bahiyah teraju di Kedah

Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar akan menjadi lokasi utama di Kedah dalam menjayakan program berinspirasi Surah Al-Saff bertemakan ‘Merdeka Dengan Rasa’. (Gambar kecil: Saloni)
Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar akan menjadi lokasi utama di Kedah dalam menjayakan program berinspirasi Surah Al-Saff bertemakan ‘Merdeka Dengan Rasa’. (Gambar kecil: Saloni)
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah bakal menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan pendekatan berbeza apabila Malaysia #QuranHour 2025 dianjurkan secara serentak di masjid, perpustakaan desa dan premis perniagaan terpilih pada 30 Ogos ini.

Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar akan menjadi lokasi utama dan pemimpin kepada beberapa masjid lain di negeri ini dalam menjayakan program berinspirasi Surah Al-Saff bertemakan ‘Merdeka Dengan Rasa’.

Menurut wakil Rumah Ngaji Kedah, Saloni Mustaffa, kira-kira 300 peserta dijangka hadir ke program berkenaan yang akan berlangsung serentak di seluruh negeri.

“Hebahan telah pun dilakukan oleh masjid-masjid kepada kariah masing-masing. Sambutan amat menggalakkan kerana program ini bukan sahaja mengangkat al-Quran, tetapi juga menyatukan masyarakat dalam semangat kemerdekaan,” kata beliau.

Perpustakaan Desa Kampung Kelubi di Kubang Pasu antara yang aktif mengadakan aktiviti rumah ngaji.
Perpustakaan Desa Kampung Kelubi di Kubang Pasu antara yang aktif mengadakan aktiviti rumah ngaji.

Tambahnya, pihak penganjur turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah melalui rangkaian perpustakaan desa di seluruh negeri.

“Walaupun program berlangsung pada Sabtu dan ada perpustakaan tidak beroperasi, pekeliling khas telah dikeluarkan agar lokasi yang dibuka dapat melaksanakan #QuranHour di peringkat masing-masing,” jelasnya.

Lebih menarik, Malaysia #QuranHour 2025 di Kedah turut memperluas pelaksanaannya ke premis perniagaan yang berminat untuk turut serta.

Artikel Berkaitan:

“Kami telah menghubungi beberapa usahawan dan menerima maklum balas positif. Ada yang sedia membuka ruang di kedai masing-masing untuk aktiviti bacaan al-Quran,” katanya.

Salah satu premis yang menyahut inisiatif ini ialah sebuah kedai buku yang menyediakan ruang khas mampu memuatkan sehingga 30 orang dalam satu-satu masa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!