Pesara jururawat ubah rumah jadi pusat dakwah al-Quran

KOTA BHARU – Pesara jururawat berusia 72 tahun sanggup mengubah rumah sendiri menjadi pusat dakwah al-Quran sekali gus membuka ruang ilmu kepada kanak-kanak, suri rumah dan masyarakat setempat mempelajarinya.
Siti Fatimah Yaacob mengasaskan Rumah Ngaji Fatimatun Az Zahra kini merupakan seorang guru al-Quran bertauliah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menjadikan pusat pembinaan rohani komuniti setempat sejak mula beroperasi pada 2012.
Penasihat Rumah Ngaji Fatimatun Az Zahra, Noraidah Moner berkata, rumah ngaji itu secara rasmi didaftarkan di bawah Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) pada 2022 dan terus berkembang sebagai pusat ilmu yang aktif.
“Walaupun sudah bersara dan berusia lanjut, beliau (Siti Fatimah) tetap komited menyumbang ilmu al-Quran kepada masyarakat tanpa mengira usia, dengan menjadikan rumah kediamannya sendiri sebagai pusat pengajian terbuka kepada penduduk sekitar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Tadabbur Ambang Ramadan di sini pada Khamis.

Majlis Tadabbur Ambang Ramadan itu dianjurkan sebagai sebahagian aktiviti tahunan Rumah Ngaji Fatimatun Az Zahra bagi menyemarakkan penghayatan al-Quran menjelang Ramadan selari dengan visi dan misi PRNNK.
Program tersebut menampilkan Timbalan Pengerusi PRNNK, Muhamad Bukhori, sebagai penyampai tadabbur al-Quran dan berjaya menghimpunkan kira-kira 50 jemaah.
Menurut beliau, seramai 20 pelajar dewasa terdiri daripada suri rumah dan pesara kerajaan serta 30 pelajar kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 15 tahun mengikuti kelas pengajian al-Quran di rumah ngaji tersebut.
Ujarnya, selain pengajaran membaca al-Quran secara tartil, Siti Fatimah turut mengajar qasidah, rawi serta sering dijemput mengetuai majlis tahlil, bacaan rawi dan khatam al-Quran di sekitar Peringat dan Melor.
“Rumah ngaji ini bukan sekadar tempat mengaji, tetapi pusat pembangunan rohani masyarakat, tempat membina sahsiah, akhlak dan kefahaman agama dalam kalangan komuniti,” katanya.
Menurut Noraidah yang juga Ketua Biro Keahlian dan Kebajikan PRNNK, sambutan luar jangka membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan ilmu agama semakin meningkat.
Kata beliau, walaupun masing-masing sibuk dengan tanggungjawab harian, kehadiran yang memberangsangkan menunjukkan masyarakat dahagakan ilmu dan semakin sedar bahawa al-Quran bukan sekadar dibaca, tetapi perlu difahami dan diamalkan.
Beliau berharap Rumah Ngaji Fatimatun Az Zahra terus menjadi model rumah ngaji komuniti yang aktif serta menjadi pemangkin kebangkitan budaya al-Quran dalam masyarakat setempat.
Ringkasan AI
- Pesara jururawat berusia 72 tahun mengubah rumah sendiri menjadi pusat dakwah al-Quran
- Rumah Ngaji Fatimatun Az Zahra beroperasi sejak 2012 dan terdaftar di bawah Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan pada 2022
- Tujuan untuk menyediakan ilmu al-Quran kepada kanak-kanak, suri rumah dan masyarakat setempat tanpa batasan usia
- Menyediakan pembelajaran al-Quran serta mengajar qasidah, rawi dan menjadi pemimpin majlis keagamaan
- Rumah Ngaji ini berperanan sebagai pusat pembangunan rohani, sahsiah, akhlak dan kefahaman agama dalam komuniti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

