Panduan Surah al-Saff: Bunyanun marsus kunci kekuatan umat

Ustaz Bachtiar (kiri) dan Ahmad Yani dalam sesi temu bual di Kuala Lumpur pada 25 Ogos lalu.
Ustaz Bachtiar (kiri) dan Ahmad Yani dalam sesi temu bual di Kuala Lumpur pada 25 Ogos lalu.
A
A
A

SHAH ALAM – “Kejayaan umat Islam tidak akan datang hanya dengan usaha semata-mata, tetapi dengan pertolongan Allah. Dan pertolongan itu hadir apabila kita bersatu seperti Bunyanun Marsus, sebuah bangunan kukuh yang saling menguatkan.”

Itulah intipati pesanan Pengasas Ar-Rahman Qur’anic Learning Centre (AQL) dari Indonesia, Ustaz KH Bachtiar Nasir ketika berkongsi pandangannya mengenai tema Surah al-Saff dalam Malaysia #QuranHour tahun ini. Beliau ditemu bual oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Ahmad Yani Abd Manaf, di Kuala Lumpur pada 25 Ogos lalu.

Beliau menegaskan, Surah al-Saff menggambarkan syarat utama kemenangan umat Islam ialah kesatuan hati, tujuan dan barisan. Walaupun konteks ayat berkaitan peperangan, mesejnya relevan dalam aspek sosial, politik, ekonomi dan peradaban umat Islam hari ini.

“Kita lihat fenomena perpecahan umat Islam dari Timur Tengah, Afrika hingga Asia. Malangnya, ada kalanya perpecahan ini dinikmati. Akibatnya, kekuatan umat tidak berkembang,” katanya.

Menurut beliau, isu besar seperti sekatan Gaza bukan hanya berpunca daripada Yahudi atau kuasa luar, tetapi kelemahan dalaman umat Islam sendiri yang berpecah.

“Kalau hati sudah bersatu, tembok yang kukuh pun boleh runtuh. Berlin sudah membuktikan. Tetapi umat Islam masih gagal bersatu untuk Palestin. Maka kelemahan ini hakikatnya lahir daripada hati yang berpecah-belah,” jelasnya.

Mengimbau sirah Rasulullah SAW, Ustaz Bachtiar menekankan bahawa persatuan mesti bermula daripada akidah.

“Rasulullah membina akidah selama 13 tahun di Mekah. Kemudian di Madinah, Baginda mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar. Mereka cepat bersatu kerana persaudaraan akidah, bukan semata-mata kepentingan duniawi.

“Kesatuan tidak akan lahir jika umat hanya berebut kepentingan. Kita sepakat ingin bersatu, tetapi terpecah bila masuk soal siapa dapat apa. Itu tanda penyatuan tidak lahir daripada hati yang ikhlas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam menangani perbezaan mazhab dan khilaf, Ustaz Bachtiar mengajak umat memberi fokus pada persamaan dan mensyukuri nikmat yang ada.

“Daripada sibuk mencari perbezaan, lebih baik kita mensyukuri persamaan yang Allah kurniakan. Asasnya, sesama Muslim tidak boleh menzalimi dan mengkhianati,” tegasnya.

Menyentuh aspek ekonomi, beliau menegaskan bahawa material hanyalah alat, bukan tujuan. Namun musuh sering menjadikan faktor ekonomi sebagai senjata untuk memecah-belahkan umat.

“Di Indonesia, kami sedang berbicara tentang ‘rare earth’ (logam nadir bumi), sumber bernilai besar. Malaysia juga mempunyai potensi yang banyak. Jika disyukuri dan diurus dengan bijak, Asia Tenggara boleh bangkit sebagai kuasa ekonomi Islam yang kuat. Tetapi jika dibiarkan, ia boleh menjadi bencana,” ujarnya.

Malaysia bakal menyambut kemerdekaan ke-68 pada 31 Ogos ini. Menurut Ustaz Bachtiar, semua pemimpin, pembina dasar, penjawat awam dan rakyat perlu memerdekakan jiwa daripada perhambaan harta dan dunia.

“Seperti pesan Allah kepada para nabi, kemerdekaan sebenar hanya tercapai apabila kita keluar daripada kegelapan menuju cahaya. Di sinilah peranan besar Malaysia #QuranHour membimbing masyarakat kembali kepada al-Quran dan Sunnah.

“Malaysia #QuranHour ini bukan sekadar program, tetapi jalan untuk memerdekakan rasa. Jika kita kembali kepada al-Quran, kita akan menjadi bangsa yang kukuh, Bunyanun Marsus, dan Allah akan turunkan pertolongan-Nya,” katanya.

Orang ramai dijemput menyertai Malaysia #QuranHour di lokasi perdana, Masjid Negara Kuala Lumpur pada jam 11.30 pagi hingga 1 tengah hari, 30 Ogos ini. Untuk maklumat lanjut sila layari Facebook QuranHour.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!