Pendakwah Vietnam mohon maaf positif Covid-19

Ahmad Tarmizi (tengah) bersama Ustaz Husaini (dalam bulatan) ketika menjayakan program ibadah qurban di Vietnam dua tahun lalu.
Ahmad Tarmizi (tengah) bersama Ustaz Husaini (dalam bulatan) ketika menjayakan program ibadah qurban di Vietnam dua tahun lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - “Maafkan saya,” lemah tutur kata Pengerusi Persatuan Muslim Phan Rang, Nha Trang, Vietnam yang dikenali sebagai Ustaz Husaini ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Walaupun beliau disahkan positif koronavirus (Covid-19) dan dalam keadaan lemah, pendakwah terkemuka di Wilayah Phan Rang itu tetap meluangkan masa hampir 35 minit berkongsi pengalaman sebagai pesakit wabak itu.

Menurut Husaini, beliau disahkan positif Covid-19 selepas pulang daripada menghadiri perhimpunan ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur bermula 28 Februari hingga 3 Mac lalu.

“Sekembalinya ke Vietnam, saya berada di masjid untuk ijtimak dan kembali ke rumah selepas tiga hari kerana badan saya mulai sakit, demam dan batuk,” katanya.

Menurutnya, akibat terlalu lemah, beliau segera ke hospital untuk pemeriksaan dan menjalani ujian darah dan disahkan positif Covid-19.

“Saya terpaksa menjalani tiga jenis ujian, iaitu ujian darah, hidung dan air liur bagi memastikan penyakit yang saya alami,” katanya.

Husaini berkata, semua ahli keluarga dan individu yang disyaki bersentuhan dengannya telah dikuarantin dan turut diarahkan menjalani ujian darah.

“Keseluruhan kampung saya dihalang dimasuki dan dua buah masjid di kawasan itu diarah tutup, saya menyesal dengan semua orang, mohon maaf,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau adalah mangsa pertama di Ninh Thuan dan merupakan kes ke-61 di Vietnam.

“Saya kini dirawat di Hospital Ninh Thuan dan sudah mampu makan dan minum,” katanya lemah sambil meminta izin mengundurkan diri akibat terlalu keletihan.

Sementara itu seorang kenalannya yang juga Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, Husaini dikuarantin dan diberikan rawatan sejak 14 hari lalu.

“Seisi keluarga termasuk isteri dan anak beliau juga disyaki Covid-19 dan dirawat secara berasingan.

Dalam perbualan dengannya menerusi WhatsApp, beliau sampaikan mesej 'minta maaf segala salah silap’ kepada sahabat yang mengenalinya di Malaysia,” katanya.

Ahmad Tarmizi berkata, Husaini antara individu yang banyak berjasa kepada umat Islam di Phan Rang dalam mendaulatkan Islam dan menyebarkan dakwah.

“Beliau adalah lulusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan berusaha mengembalikan sebahagian besar penganut Islam yang sesat kepada Islam sebenar di negara terbabit. Malah turut mengendalikan program ibadah qurban rakyat Malaysia yang menyumbang untuk rakyat di sana,” katanya.