Pelajar jatuh asrama: Masih terlalu awal dikaitkan unsur buli - KP Selangor

SHAH ALAM – Polis menegaskan masih terlalu awal untuk mengaitkan insiden pelajar Tingkatan Tiga terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam dengan sebarang unsur buli.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan kes berkenaan akan dijalankan secara menyeluruh merangkumi aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakannya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian yang boleh menjejaskan siasatan serta menimbulkan tekanan emosi kepada keluarga mangsa.
"Sebarang kesimpulan khususnya melibatkan buli masih terlalu awal pada peringkat ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas laporan mengenai seorang pelajar, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi yang kini berada dalam keadaan kritikal selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya.
Bapa saudara mangsa, Muhammad Aidil Mansor, 34, berkata, keputusan imbasan CT scan mendapati anak saudaranya mengalami pendarahan di bahagian kiri dan kanan otak, selain rahang patah serta kecederaan paru-paru.
Susulan kejadian itu, keluarga mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Sabak Bernam pada jam 5 pagi Selasa.
Shazeli menjelaskan, polis komited untuk menyiasat kes itu dengan telus di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan sedang giat mengumpulkan keterangan saksi serta bukti berkaitan.
Beliau turut menekankan bahawa spekulasi tanpa asas bukan sahaja mengganggu siasatan, malah berisiko menjejaskan mental keluarga mangsa yang sedang berdepan trauma.
“Kami memahami kebimbangan orang ramai, namun adalah lebih baik untuk membiarkan siasatan dijalankan sepenuhnya mengikut prosedur.
"Polis akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa,” tambahnya.
Setakat ini, polis memberi jaminan bahawa semua sudut siasatan termasuk kemungkinan kemalangan, kecuaian atau faktor lain akan disiasat secara seimbang sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di talian 03-55145222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

