Usah benar penyelewengan perolehan aset tentera

Pembelian aset terpakai dan usang atau terlalu mahal, bukan sahaja merugikan malah membazirkan wang negara serta merisikokan pasukan keselamatan. Gambar hiasan
Pembelian aset terpakai dan usang atau terlalu mahal, bukan sahaja merugikan malah membazirkan wang negara serta merisikokan pasukan keselamatan. Gambar hiasan
A
A
A

INSIDEN sebuah pesawat tempur milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), F/A-18D Hornet terhempas di landasan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan pada Jumaat lalu telah mencetuskan kebimbangan baharu berhubung armada usang pertahanan negara, isu yang baru-baru ini mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong.

Nahas tersebut adalah yang pertama melibatkan pesawat Hornet yang kini memasuki usia 28 tahun.

Namun ia berlaku hanya seminggu selepas Sultan Ibrahim memberi amaran tentang risiko peralatan ketenteraan yang semakin usang, yang digambarkan Seri Paduka sebagai ‘keranda terbang’.

Isu perolehan aset ketenteraan terus menjadi perdebatan di negara ini kerana sering dibayangi masalah ejen dan komisen.

Itu belum lagi dikira aset yang dibeli pada harga tidak masuk akal. Bayangkan, sebuah bot Rigid Riding Craft untuk komando pernah dibeli pada harga RM5 juta sebuah sedangkan ada alternatif di bawah RM2 juta.

Pembelian aset terpakai dan usang atau terlalu mahal, bukan sahaja merugikan malah membazirkan wang negara serta merisikokan pasukan keselamatan.

Malaysia mempunyai sejarah hitam berkait pembelian aset terpakai seperti pesawat tempur Hawk dan helikopter Nuri. Pesawat Hawk pernah terhempas sebanyak enam kali manakala Nuri, 19 kali dengan 82 kematian.

Perolehan aset ketenteraan mesti dibuat ikut keperluan sebenar, harga pasaran dan kualiti, bukan ikut komisen atau cakap manis si jurujual.

Kita tidak mahu perolehan aset ketenteraan membuka ruang untuk orang memunggah kekayaan melalui rasuah atau komisen bernilai jutaan ringgit.

Artikel Berkaitan:

Kita tidak berniat untuk berperang dengan mana-mana negara, namun kekuatan tentera kita - laut, udara dan darat, mestilah sekurang-kurangnya setanding dengan negara jiran sebagai kesiapsiagaan pertahanan.

Justeru, sudah tiba masa perolehan aset pertahanan dibuat secara terus antara kerajaan dengan kerajaan (G2G). Kaedah ini lebih berkesan berbanding melalui ejen.

Selain mampu menurunkan kos, kerajaan boleh meletakkan syarat tambahan seperti pemindahan teknologi dan penglibatan dalam penyelidikan.

Pada masa sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga harus siasat siapa yang dapat komisen jutaan ringgit tersebut kerana ini juga satu pengkhianatan yang merugikan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!