Panglima Tentera Udara terbangkan pesawat pejuang sempena Sambutan Hari Kebangsaan

Muhammad Norazlan memulakan persiapan dan latihan penerbangan di Subang pada Rabu. FOTO: TUDM
Muhammad Norazlan memulakan persiapan dan latihan penerbangan di Subang pada Rabu. FOTO: TUDM
A
A
A

SUBANG – Sambutan Hari Kebangsaan 2025 bakal mencatat sejarah tersendiri apabila Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Sri Muhamad Norazlan Aris akan terlibat secara langsung dalam persembahan udara dengan menerbangkan pesawat pejuang Su-30MKM.

Beliau sebelum itu telah memulakan persiapan dan latihan penerbangan bersama juruterbang dan anak kapal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pada Rabu.

TUDM dalam kenyataan di Facebook rasminya berkata, latihan itu bagi menjayakan segmen persembahan udara sempena Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini di Dataran Putrajaya.

Muhammad Norazlan memeriksa keadaan aset udara milik TUDM yang akan menggegarkan ruang udara Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini. FOTO: TUDM
Muhammad Norazlan memeriksa keadaan aset udara milik TUDM yang akan menggegarkan ruang udara Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini. FOTO: TUDM

Menurut kenyataan itu, penglibatan Panglima Tentera Udara dalam persembahan udara ini mencerminkan semangat kepimpinan beliau untuk berada di barisan hadapan bersama perwiranya, sekali gus menjadi lambang kekuatan sebuah pasukan.

"Aset-aset udara yang turut serta ialah daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Pada tahun ini, sebanyak 30 aset udara bakal menggegarkan ruang udara Putrajaya yang terdiri daripada pesawat pejuang, pesawat pengangkut dan helikopter daripada semua agensi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Antara aset ATM yang akan diterbangkan dalam sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini. FOTO: TUDM
Antara aset ATM yang akan diterbangkan dalam sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini. FOTO: TUDM

Tambah kenyataan itu, sambutan Hari Kebangsaan 2025 membawa tema 'Malaysia Madani: Rakyat Disantuni' dan kali ini semangat itu diterjemahkan melalui deruman enjin, kibaran Jalur Gemilang serta keberanian yang menjulang tinggi di angkasa raya oleh Angkatan Tentera Malaysia dan agensi-agensi keselamatan serta pertahanan yang lain.

"Pengorbanan tidak bertepi, nyawa sebagai taruhan, itulah ikrar yang dipegang oleh kami dalam memastikan keamanan dan kemerdekaan negara terus dipertahankan. Duty, Honour, Sacrifice," ujarnya.

Katanya lagi, TUDM menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2025.

"Ambillah peluang untuk merakam detik bersejarah ini bersama keluarga tercinta," ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!