Lapan F/A-18D Hornet milik TUDM kini tinggal tujuh

Lapan pesawat tempur F/A-18D Hornet milik TUDM kini tinggal tujuh. Foto: Portal Defence Security Asia
Lapan pesawat tempur F/A-18D Hornet milik TUDM kini tinggal tujuh. Foto: Portal Defence Security Asia
A
A
A

INSIDEN pesawat tempur F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas pada Khamis lepas amat mengejutkan orang ramai, lebih-lebih lagi peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan mengenai aset ketenteraan negara.

TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kemalangan itu berlaku pada jam 9.05 malam di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.

Selepas kejadian itu heboh diperkatakan di media sosial, tidak lama kemudian keluar laporan mengatakan juruterbang dan jurusensor senjata jet pejuang berkenaan sempat melaksanakan prosedur kecemasan, iaitu keluar menggunakan kerusi lontar (eject) sebelum terhempas.

Dua pegawai tentera tersebut dilaporkan selamat dan kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Rata-rata penggemar model pesawat tempur itu menyatakan kesedihan masing-masing di media sosial kerana Malaysia kini hanya tinggal tujuh F/A-18D Hornet, satu angka yang boleh dikatakan sedikit.

Malah, difahamkan kebanyakan pesawat F/A-18D Hornet sekarang sudah pun berusia 28 tahun dan boleh dikelaskan sebagai pesawat tua.

Terbaharu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris memaklumkan, operasi penerbangan membabitkan pesawat F/A 18D Hornet digantung sementara berkuat kuasa Jumaat.

Katanya, kesemua aset tentera udara termasuk pesawat diselenggara sebaik mungkin mengikut jadual.

Jelas beliau lagi, nahas pesawat F/A-18D Hornet terhempas di Pangkalan Udara Kuantan juga tidak menjejaskan pertahanan udara negara.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menambah bahawa kekuatan pertahanan udara bukan hanya bergantung kepada kuantiti pesawat dimiliki, tetapi kualiti aset dan kesiapsiagaan tentera udara.

Muhamad Norazlan berkata lagi, pasukannya akan membuat siasatan bermula Jumaat dan memberikan laporan awal secepat mungkin.

Insiden sedemikian menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan dan nyawa pegawai terlibat serta mutu pengendalian pesawat tempur lama itu.

Kalau tak silap, kerajaan sebelum ini pernah berhasrat untuk memperoleh 38 pesawat F/A-18 C/D Hornet Tentera Udara Kuwait (KAF) memandangkan jet pejuang yang dikendalikan negara itu dalam keadaan baik dan mempunyai waktu jam operasi lebih rendah berbanding F/A-18D Hornet milik TUDM.

Perkembangan setakat Julai lalu, Muhamad Norazlan dalam satu laporan media memberitahu bahawa pihaknya sudah mendapat kelulusan daripada Amerika Syarikat (AS) sebagai pengeluar pesawat terbabit untuk melakukan penilaian teknikal pada September depan.

Keputusan mengenai tarikh penyerahan pesawat itu bagaimanapun bergantung kepada bilakah KAF menerima pesawat F/A-18E/F Super Hornet, tetapi dianggarkan pada 2027.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!