Jenayah paling ditakuti kini sudah berlaku

Pendedahan polis mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun membina laman web untuk menjual tubuh memberi isyarat betapa parahnya kerosakan sosial yang sedang meracuni generasi muda negara ini. Gambar hiasan 123rf
Pendedahan polis mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun membina laman web untuk menjual tubuh memberi isyarat betapa parahnya kerosakan sosial yang sedang meracuni generasi muda negara ini. Gambar hiasan 123rf
A
A
A

PENDEDAHAN polis mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun membina laman web untuk menjual tubuh memberi isyarat betapa parahnya kerosakan sosial yang sedang meracuni generasi muda negara ini.

Ia juga membuktikan jenayah seksual sudah memasuki fasa lebih mencabar kerana telah menular kepada kanak-kanak sebagai pelaku gara-gara revolusi dunia di hujung jari yang disalahgunakan.

Pada April lalu, negara pernah digemparkan dengan penahanan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang masih bersekolah di Kulai, Johor kerana dipercayai memuat naik dan menjual gambar lucah hasil suntingan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam talian dengan harga RM2 sekeping, namun tidak dijangka ketika ini terbongkarnya kes jauh lebih ekstrem daripada itu.

Dengan tumpasnya ‘Geng Budak Sekolah’ hingga perkara ini diketahui masyarakat umum turut mengangkat persoalan penting bagaimana seorang kanak-kanak boleh terjebak dalam jenayah seksual secara terancang sehingga meninggalkan alam persekolahan demi mengejar wang hasil kegiatan terlarang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Selasa dilapor berkata, laman web menjual tubuh itu dikendalikan murid terbabit bersama empat rakannya malah mereka mempunyai satu kumpulan WhatsApp yang terdiri daripada 762 ahli.

Bayangkan seorang kanak-kanak yang sepatutnya berada di kelas Matematik atau Sains, menjadi ‘usahawan’ dunia gelap, memperoleh pendapatan lebih lumayan daripada ibu bapanya sendiri.

Situasi ini menunjukkan jenayah seksual kanak-kanak yang biasanya dilaporkan di luar negara dan paling ditakuti, kini sudah berlaku di negara kita.

Laporan Internet Watch Foundation (IWF) yang berpangkalan di United Kingdom mendedahkan lebih 255,000 imej dan video eksploitasi seksual kanak-kanak dimuat naik dalam talian pada pada 2022.

Lebih 100,000 daripada gambar dan video itu adalah dirakam sendiri oleh mangsa kanak-kanak, biasanya selepas ditipu atau dipaksa pemangsa.

Artikel Berkaitan:

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif IWF, Susie Hargreaves berkata, lebih menyedihkan berlaku peningkatan laporan pada 2022 termasuk dari segi penularan imej dan video penderaan seksual kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 10 tahun.

Katanya, imej seksual yang dicipta kanak-kanak ketika sedang berada dalam bilik tidur menyumbang hampir empat daripada setiap lima laporan.

Indonesia pula dikejutkan dengan kes pelajar sekolah menengah yang menjual gambar intim melalui Telegram, selain kes lebih besar membabitkan lebih 13,000 kandungan pornografi kanak-kanak disebar oleh sindiket.

Justeru, kenyataan Saifuddin Nasution bahawa KDN perlu melaksanakan penguatkuasaan mengikut undang-undang berkaitan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) selain mendapatkan pandangan daripada pelbagai agensi yang lain bagi menangani kes berkenaan dilihat sebagai langkah yang tepat.

Ia kerana bekerja secara silo atau bekerja dalam komuniti sendiri tidak akan menyelesaikan masalah ini. Kes ini bukan sekadar di bawah bidang kuasa KDN atau polis sahaja, tetapi berkait rapat dengan pendidikan, kesihatan, teknologi dan kebajikan.

Satu pasukan khas merentas kementerian mungkin boleh diwujudkan segera untuk memantau laman web dan aplikasi yang sering disalah guna terutama oleh kanak-kanak.

Dasar Pendidikan Digital yang sedang dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia sejak 2023 juga perlu memberi tumpuan ke arah pendidikan digital yang selamat dan murid mesti didedahkan dengan bahaya jenayah seksual pedofilia.

Selain itu, pembeli atau mereka yang mengakses kandungan pornografi kanak-kanak juga mesti dikesan dan dijatuhi hukuman lebih berat.

Jadi hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali yang diperuntukkan di bawah Seksyen 10 Akta 792 mungkin wajar dipinda bagi menimbulkan rasa gerun seterusnya mengurangkan permintaan terhadap kandungan jijik sebegini.

*Raiham Mohd Sanusi ialah Wartawan Nasional Sinar Harian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!