Polis masih siasat kematian mengejut wanita berusia 37 tahun

Antara hantaran berkaitan kematian mangsa yang tular di laman.sosial.
Antara hantaran berkaitan kematian mangsa yang tular di laman.sosial.
A
A
A

KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Polis Kuantan menafikan beberapa laporan yang tular di media sosial mendakwa tiada siasatan dilakukan terhadap kes kematian seorang wanita berusia 37 tahun, 20 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dakwaan tersebut tidak tepat kerana siasatan lanjut berkaitan kematian mengejut itu masih dijalankan.

Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan masih meneruskan siasatan kes berkenaan.

"Sehingga kini seramai 14 saksi telah direkodkan keterangan termasuk doktor yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat si mati,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Wan Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan berkait wanita tersebut yang disahkan meninggal dunia di Bahagian Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini 20 Mac lalu.

“Siasatan awal telah dijalankan dan hasil bedah siasat mendapati kematian wanita itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," jelasnya.

Beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kes itu diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 014-8828135 untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan, ahli keluarga wanita itu memohon pihak polis untuk menilai semula siasatan yang dijalankan bagi membela mangsa yang disyaki mati dibunuh.

Terdahulu, kakak mangsa, Khairun Munirah Mohd Karim, 40, menerusi sidang media mendakwa kematian adiknya, Nurul Aina, 37 adalah akibat dibunuh.

"Pada hari kejadian adik saya dikatakan tersembam di rumah namun punca kematian yang disahkan oleh pakar forensik menunjukkan ada kecederaan 'blunt force trauma' di belakang tengkoraknya.

"Kami hairan bagaimana kes ini diklasifikasikan sebagai SDR dan bukannya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, dia dan ahli keluarga memohon pihak polis untuk menilai semula siasatan yang dijalankan bagi membela kematian adiknya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!