Agihan semula SARA pastikan dana tidak terbiar, dimanfaat sepenuhnya

Amir Hamzah
Amir Hamzah
A
A
A

PENGAGIHAN semula baki RM150 juta peruntukan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2025 kepada golongan rentan dilihat mencerminkan pendekatan fiskal kerajaan yang berdisiplin serta berteraskan kemanusiaan dan keadilan sosial.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam sidang Dewan Rakyat pada Khamis, di mana penghuni pusat perlindungan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) khususnya mangsa keganasan rumah tangga menjadi salah satu daripada empat golongan yang akan menerima agihan itu.

Langkah itu tentunya penting kerana ia memastikan dana awam tidak terbiar atau sekadar menjadi angka dalam laporan kewangan, sebaliknya dimanfaatkan secara langsung oleh kelompok masyarakat yang benar-benar memerlukan.

Dalam konteks ini, keutamaan diberikan kepada mangsa keganasan rumah tangga, orang kurang upaya (OKU), pelajar berkeperluan khas dan pesakit miskin menunjukkan kepekaan kerajaan terhadap realiti sosial yang sering terpinggir daripada arus perdana pembangunan ekonomi.

Bagi mangsa keganasan rumah tangga khususnya, bantuan tersebut sekadar soal kebajikan, tetapi soal kelangsungan hidup dan maruah insan.

Ramai mangsa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terpaksa melarikan diri tanpa persediaan kewangan, pekerjaan atau sokongan keluarga.

Dalam situasi ini, tentunya peruntukan tambahan boleh digunakan untuk penyediaan makanan, rawatan psikologi, perlindungan sementara dan latihan kemahiran bagi membantu mereka membina semula kehidupan yang lebih selamat serta berdikari.

Perhatian terhadap pelajar OKU dan pelajar berkeperluan khas pula menzahirkan komitmen kerajaan terhadap prinsip inklusif dalam pendidikan.

Golongan ini sering berdepan kos tambahan seperti keperluan peranti sokongan pembelajaran, pengangkutan khas atau rawatan terapi berterusan. Tanpa sokongan mencukupi, mereka berisiko tercicir daripada sistem pendidikan.

Artikel Berkaitan:

Agihan dana ini berpotensi meringankan beban keluarga serta memastikan pelajar berkenaan mempunyai peluang yang lebih adil untuk berjaya, selari dengan matlamat membangunkan modal insan negara.

Begitu juga dengan peruntukan bagi pembelian peranti perubatan untuk pesakit miskin di bawah Kementerian Kesihatan.

Bantuan bersasar ini mampu meningkatkan kualiti hidup mereka, mengurangkan risiko komplikasi kesihatan serta mengurangkan tekanan kewangan jangka panjang terhadap keluarga.

Secara keseluruhan, pengagihan semula baki peruntukan SARA ini bukan sahaja membuktikan keupayaan kerajaan mengurus kewangan awam secara telus dan fleksibel, malah mengukuhkan mesej bahawa pembangunan negara tidak boleh diukur semata-mata melalui angka pertumbuhan ekonomi.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!