Buruh culik kanak-kanak autisme dipenjara tiga tahun

BUTTERWORTH - Seorang buruh dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah menculik seorang kanak-kanak autisme berusia lima tahun pada Mac lalu.
Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal memerintahkan tertuduh Jasri Ismail, 36, menjalani hukuman terbabit bermula dari tarikh dia ditangkap pada 31 Mac lalu.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menculik seorang kanak-kanak lelaki dari bawah penjagaan bapanya berusia 42 tahun di tempat letak kenderaan Masjid Kampung Banggol Pokok Sena, Kepala Batas jam 8.20 malam, pada 30 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun dan denda.

Jasri turut mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda BRV berwarna kelabu milik bapa kanak-kanak itu di lokasi dan waktu yang sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Siti Marissa Safina dalam hujahnya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran berikutan keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh yang menculik kanak-kanak berusia lima tahun yang juga berstatus kurang upaya.
"Kes ini berlaku pada malam hari raya, sewaktu mangsa sepatutnya bersama keluarganya. Mangsa turut mengalami kecederaan ringan akibat kejadian ini," katanya.
Peguam tertuduh pula memohon hukuman diringankan dengan alasan anak guamnya telah menjimatkan masa dan kos mahkamah apabila mengaku bersalah.
"Tertuduh bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,800 sebulan dan menyara ibunya yang berusia 75 tahun,"katanya.
Sementara itu, mahkamah turut menjatuhkan hukuman setahun penjara terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah mencuri kenderaan.
Mahkamah turut mengarahkan barang kes diserahkan semula kepada pemilik asal.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas dia melarikan sebuah SUV bersama kanak-kanak autisme dari tempat letak kenderaan Masjid Kampung Banggol Pokok Sena.
Difahamkan, ketika kejadian, bapa mangsa meninggalkan anak lelakinya di dalam kenderaan dengan enjin masih hidup, sementara dia memujuk anak perempuannya yang berusia setahun di luar kenderaan.
Bagaimanapun suspek tiba-tiba datang dan melarikan kenderaan bersama mangsa.
Bapa mangsa cuba mengejar namun gagal dan segera membuat laporan polis.
Sekitar jam 3.40 pagi keesokan harinya, pihak polis menemui kenderaan tersebut di kawasan parkir sebuah stesen minyak di hentian Rehat dan Rawat Behrang arah selatan, dan berjaya mengesan mangsa di dalamnya.
Suspek ditahan tidak lama kemudian.
Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan 10 kes berkaitan dadah, termasuk dua kes dikehendaki serta lima kes jenayah lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!