Sindiket guna kereta simpan dadah hampir RM1 juta

Dadah yang dirampas dalam dua serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Dadah yang dirampas dalam dua serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taktik sindiket menjadikan kereta sebagai tempat stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan terbongkar susulan tangkapan seorang lelaki pada 20 Ogos lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, bertindak atas maklumat risikan pengedaran dadah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah melancarkan dua serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Dalam serbuan pertama, seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan di lobi sebuah residensi di sini pada jam 6.15 petang. Turut dirampas sebuah beg plastik mengandungi dua ketulan mampat disyaki dadah jenis heroin base seberat kira-kira 741.50 gram,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Fadil berkata, lanjutan daripada tangkapan tersebut, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Toyota Vios yang diletakkan di kawasan perumahan di Taman Segar, Cheras, Selangor.

“Pemeriksaan di dalam but kereta menemukan satu guni dan satu beg kain berisi lapan ketulan mampat disyaki dadah jenis heroin base seberat kira-kira tiga kilogram serta 20 bungkusan teh Cina yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu dengan anggaran berat 20.5 kilogram,” katanya.

Tambahnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan dadah tersebut adalah sebanyak RM974,000.

“Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh menampung penggunaan seramai 420,400 penagih dadah pada satu masa,” katanya.

Menurutnya, sindiket itu dipercayai mula bergerak aktif sejak Oktober tahun lalu dan menjalankan pengedaran di sekitar Lembah Klang.

“Dadah jenis heroin base yang dirampas akan diproses terlebih dahulu untuk dijadikan heroin No. 3 yang digunakan oleh penagih,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ujian saringan awal air kencing ke atas suspek didapati negatif daripada sebarang jenis dadah, namun semakan rekod lampau mendapati lelaki itu pernah dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!