4 lelaki ditahan, dadah hampir RM15,000 dirampas

BERA - Polis Bera berjaya menahan empat lelaki dan merampas dadah bernilai kira-kira RM14,706.40 menerusi Ops Hawk di ladang kelapa sawit Felda Bukit Puchong, Triang, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, tangkapan dilakukan menerusi dua serbuan berasingan di lokasi sama.
Menurutnya, serbuan pertama yang dijalankan kira-kira jam 10 pagi berjaya menahan tiga lelaki berusia 39, 43 dan 44 tahun, manakala serbuan kedua kira-kira jam 12 tengah hari menahan seorang lelaki berusia 41 tahun oleh sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera.
“Hasil serbuan itu, polis berjaya merampas dadah disyaki jenis heroin seberat kira-kira 529.52 gram dan syabu dianggarkan seberat 13.34 gram, selain wang tunai berjumlah RM530 dalam dua kejadian berasingan.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM14,706.40. Turut disita tiga kenderaan milik suspek di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan anggaran nilai RM13,000,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis morfin selain semakan menunjukkan mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan narkotik.
Katanya lagi, keempat-empat suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa hingga 1 September ini bagi membantu siasatan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

