Sembunyi dadah bernilai RM1.9 juta di dalam tangki simpanan air

KOTA KINABALU - Dadah bernilai RM1.9 juta yang disembunyikan dalam tangki penyimpanan air berjaya ditemui di sebuah kapal pemancing yang hanyut di perairan Stesen PAPA, di sini pada Isnin.
Kapal mencurigakan itu diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira jam 8.20 pagi selepas ditemui oleh pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pengarah Maritim Malaysia Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim, Mohd Khairulanuar Abd Majid@ Razali berkata, sebaik penemuan kapal tanpa nombor pendaftaran tersebut, pihak TLDM segera menghubungi Maritim Malaysia untuk serahan dan tindakan selanjutnya.
"Pemeriksaan awal pihak TLDM telah menemui tiga bungkusan yang mencurigakan yang disimpan di bahagian bilges bot berkenaan.
"Setibanya di jeti APMM Sepanggar, pemeriksaan lanjut dilaksanakan oleh pihak Maritim Malaysia dengan bantuan Pasukan Forensik berjaya menemui 39 bungkus lagi dadah yang disembunyikan di dalam tangki penyimpanan air," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa nilai keseluruhan rampasan termasuk kapal dianggarkan sebanyak RM2.5 juta berdasarkan harga pasaran semasa.
"Ini adalah rampasan terbesar tahun ini oleh Maritim Malaysia, Sabah dan semua dadah berkenaan dipercayai untuk diseludup ke pasaran negara jiran,” katanya.
Katanya lagi, kesemua dadah tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan dan siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup," katanya.
Hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah Timbalan Panglima Armada Timur, Laksamana Pertama Erman Shahril Adlan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
