Ops Luxury: JPJ Terengganu sita lapan kenderaan mewah

KUALA TERENGGANU - Sebuah Lamborghini bersama tujuh lagi kenderaan mewah disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dalam Operasi Khas Kenderaan Mewah (Ops Luxury) yang dijalankan sepanjang 1 hingga 19 Ogos lalu.
Pengarah JPJ Terengganu, Zamri Samion berkata, kenderaan itu termasuk BMW 523i, Land Cruiser Prado, Lexus NX300, Mercedes Benz, Nissan Fairlady dan dua Toyota Vellfire disita selepas didapati melakukan kesalahan termasuk cukai jalan dan insurans tamat tempoh.
Menurutnya, kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu dikesan sepanjang Ops Luxury fasa kedua yang dijalankan di negeri ini.
"Sepanjang operasi tersebut, kita turut mengeluarkan sebanyak 33 Notis P(22), satu Notis Arah Periksa serta lapan Notis Sita.
"Daripada jumlah itu, kesalahan paling tinggi direkodkan ialah LKM tamat tempoh (13 kes) dan tiada insurans (13 kes).
“Selain itu, kita turut mengesan dua kes tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), dua kes CDL tamat tempoh serta tiga kesalahan melibatkan nombor plat tidak mengikut spesifikasi," katanya di sini pada Rabu.
Menurutnya, walaupun pada fasa pertama yang bermula Julai lalu tiada sebarang kenderaan disita, namun operasi kali ini menunjukkan masih ramai pemilik kenderaan mewah yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.
"JPJ akan meneruskan pelaksanaan Ops Luxury secara berkala bagi memastikan hanya kenderaan yang sah, selamat dan berdaftar dibenarkan berada di atas jalan raya.
"Orang ramai diingatkan supaya sentiasa memperbaharui cukai jalan dan insurans tepat pada masanya bagi mengelakkan tindakan undang-undang," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
