Terengganu semak status rumah ibadat seluruh negeri - Exco

Wan Sukairi
Wan Sukairi
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang menjalankan semakan terperinci berhubung status pembinaan rumah ibadat sedia ada, termasuk yang berkemungkinan didirikan tanpa kebenaran, di seluruh negeri.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, setakat ini maklumat mengenai kewujudan rumah ibadat tanpa kelulusan di Terengganu masih belum diperoleh kerana ia masih berada di peringkat semakan dan pengesahan rasmi oleh badan berkaitan.

“Setakat ini, semakan terperinci sedang dilaksanakan oleh PBT berkaitan rumah ibadat sedia ada di kawasan masing-masing.

“Kerajaan negeri tidak dapat membuat sebarang kesimpulan awal sebelum perincian data rasmi yang telah disahkan diperoleh,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Beliau berkata, sekiranya hasil semakan mendapati terdapat pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan, perkara tersebut akan ditangani mengikut garis panduan serta undang-undang sedia ada yang sedang berkuat kuasa.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri berhubung isu tersebut, namun menegaskan pendekatan berhemah serta sensitiviti terhadap keharmonian masyarakat majmuk akan terus diutamakan.

Katanya, tindakan yang sama turut melibatkan rumah ibadat Islam sekiranya dibina tanpa kebenaran.

“Setakat ini, rumah ibadat Islam lazimnya melalui proses kelulusan dan pendaftaran. Jika terdapat mana-mana rumah ibadat Islam yang dibina tanpa kebenaran, ia juga tertakluk kepada semakan serta tindakan yang sama oleh PBT.

“Kita terlebih dahulu menitikberatkan aspek pendidikan. Penguatkuasaan undang-undang dan peraturan akan dilaksanakan sekiranya ia menyentuh keperluan serta kemaslahatan umum,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan memberi kuasa kepada PBT untuk mengambil tindakan terhadap rumah ibadat, termasuk kuil, yang dibina di atas tapak tidak sah selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Ringkasan AI

  • Pihak berkuasa tempatan sedang semak rumah ibadat tanpa kelulusan di Terengganu
  • Exco negeri berkata tiada kesimpulan awal tanpa data rasmi
  • Sekiranya ada rumah ibadat tanpa kelulusan, akan ditangani mengikut undang-undang
  • Pendekatan berhemah dan sensitiviti keharmonian masyarakat diutamakan
  • Perdana Menteri menegaskan PBT berkuasa ambil tindakan terhadap rumah ibadat di tapak tidak sah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!