SPRM gempur sindiket seludup tembakau, cerut libat ketirisan cukai lebih RM250 juta

SPRM dengan kerjasama LHDN, BNM dan JKDM menumpaskan sindiket penyeludupan rokok, cerut dan tembakau menerusi serbuan di sekitar Lembah Klang dan Johor pada Selasa. FOTO: SPRM
SPRM dengan kerjasama LHDN, BNM dan JKDM menumpaskan sindiket penyeludupan rokok, cerut dan tembakau menerusi serbuan di sekitar Lembah Klang dan Johor pada Selasa. FOTO: SPRM
A
A
A

 

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggempur syarikat-syarikat dipercayai terlibat penyeludupan tembakau, rokok dan cerut yang menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai lebih RM250 juta sejak tahun 2020 hingga tahun lepas.

Serbuan Op Sikaro diketuai Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM dijalankan dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di 14 lokasi sekitar Lembah Klang dan Johor, pada Selasa.

Menurut sumber, serbuan ini dijalankan ke atas premis-premis perniagaan dan pemilik-pemilik syarikat yang menjalankan aktiviti perniagaan tembakau, cerut dan pembekal minuman keras.

SPRM dengan kerjasama LHDN, BNM dan JKDM menumpaskan sindiket penyeludupan rokok, cerut dan tembakau menerusi serbuan di sekitar Lembah Klang dan Johor pada Selasa. FOTO: SPRM
SPRM dengan kerjasama LHDN, BNM dan JKDM menumpaskan sindiket penyeludupan rokok, cerut dan tembakau menerusi serbuan di sekitar Lembah Klang dan Johor pada Selasa. FOTO: SPRM

"Hasil serbuan, SPRM telah membekukan akaun perbankan persendirian dan akaun syarikat yang melibatkan nilai kira-kira RM218 juta.

"Selain itu, pihak JKDM turut menggantung lesen import beberapa syarikat yang dikenal pasti terlibat dengan kegiatan berkenaan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Sumber berkata, sindiket ini dipercayai turut melibatkan pegawai agensi penguat kuasa dan siasatan akan menumpukan kepada usaha mengesan serta menyita aset-aset lain yang terlibat melalui aktiviti pengubahan wang haram.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan serbuan tersebut dan berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Tegasnya, SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui rasuah, pengubahan wang haram dan penyeludupan yang merugikan negara.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!