SPRM bongkar sindiket seludup didalangi pegawai kanan ATM, rasuah lebih RM3 juta

SPRM melumpuhkan sindiket penyeludupan diketuai pegawai kanan ATM melalui Ops Sohor.
SPRM melumpuhkan sindiket penyeludupan diketuai pegawai kanan ATM melalui Ops Sohor.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beroperasi di selatan tanah air melalui Ops Sohor.

Operasi itu dijalankan oleh Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).

Menurut sumber, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 30 hingga 55 tahun ditahan di Lembah Klang sejak operasi dilancarkan pada jam 6.30 pagi Rabu.

“Pegawai kanan itu adalah dari bahagian perisikan ATM termasuk dua bekas anggota ATM dari bahagian sama.

“Mereka ditugaskan untuk memantau dan mengekang aktiviti penyeludupan, namun dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan sejak lima tahun lalu dan disyaki mengumpulkan hasil rasuah berjumlah lebih RM3 juta,” katanya.

Siasatan awal mendapati lima pegawai kanan yang menjadi suspek utama disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol membawa masuk barangan larangan seperti dadah, rokok serta barangan lain dari negara jiran ke Malaysia yang kesemuanya dianggarkan bernilai kira-kira RM5 juta sebulan.

“Suspek dipercayai menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap trip penyeludupan yang dijalankan,” katanya.

Sumber itu berkata, serbuan Ops Sohor berpandukan maklumat hasil risikan selama kira-kira 12 bulan.

“Sejumlah wang tunai bernilai lebih RM63,000, beberapa bungkusan dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras, serta senjata tiruan turut ditemukan di premis serbuan dan kesemuanya disita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, rangkaian penyeludupan membabitkan pegawai kanan tentera ini adalah besar dan rumit untuk dibongkarkan.

Dalam pada itu, seorang wanita warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah turut ditangkap semasa serbuan dijalankan, dipercayai menjadi wanita simpanan kepada salah seorang pegawai kanan tentera yang disyaki.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Tindakan operasi ini wajar diambil serius oleh semua pihak kerana ia membabitkan penyeludupan yang berupaya menjejaskan keselamatan negara.

“Walaupun kita mempunyai pelbagai agensi untuk memantau dan mengambil tindakan, kegiatan penyeludupan tetap berlaku,” katanya.

Ahmad Khusairi berkata, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!