Op Shutter: Polis tumpaskan kumpulan penjenayah pecah rumah, kedai di Johor

Mohd Khalid ketika sidang akhbar di Bukit Aman pada Selasa. Foto: Asril Aswandi Shukor
Mohd Khalid ketika sidang akhbar di Bukit Aman pada Selasa. Foto: Asril Aswandi Shukor
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kumpulan penjenayah yang terlibat dalam 32 kes pecah rumah dan premis perniagaan di Johor sehingga menyebabkan kerugian melebihi RM1 juta tumpas susulan penahanan dua suspek pada 24 Januari lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, polis melancarkan Op Shutter dan menahan dua suspek berusia 22 dan 26 tahun.

Menurutnya, kumpulan yang beroperasi secara terancang dan berkumpulan itu menyebabkan kerugian besar kepada mangsa serta menjejaskan rasa selamat dalam kalangan masyarakat.

“Sindiket itu diketuai seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dan dianggotai lima individu berumur antara 22 hingga 38 tahun yang merupakan penjenayah berulang serta aktif sejak 2022 hingga Oktober 2025,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman pada Selasa.

Mohd Khalid berkata, modus operandi kumpulan itu adalah menyasarkan rumah teres yang tidak berpenghuni serta premis perniagaan yang menggunakan pintu jenis shutter sebelum memecah masuk dengan cara mengumpil menggunakan peralatan seperti kuku kambing atau pisau pemotong.

“Suspek kemudian menggeledah premis dan melarikan barangan berharga termasuk barang kemas, wang tunai serta kenderaan milik mangsa,” katanya.

Beliau berkata, dua suspek terbabit ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Empat lagi ahli kumpulan yang berusia antara 22 hingga 38 tahun pula telah dikenal pasti dan kini berada dalam tahanan di Penjara Kluang, Johor atas kesalahan lain,” katanya.

Mohd Khalid berkata, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan rompakan berkumpulan dan bersenjata, pecah rumah, curi dalam bangunan, pemerasan, ugutan jenayah, pelupusan barangan curi serta pengedaran dadah.

Artikel Berkaitan:

“Dengan penahanan itu, pihak polis berjaya menyelesaikan 31 kes dan melumpuhkan sepenuhnya satu sindiket pecah rumah dan pecah kedai yang aktif di Johor,” katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara pada 5 Februari lalu.

“Pihak pendakwaan bersetuju menuduh kesemua enam suspek di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

“Pertuduhan akan dilaksanakan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kumpulan penjenayah terlibat dalam 32 kes pecah rumah di Johor menyebabkan kerugian melebihi RM1 juta
  • Sindiket diketuai seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dan dianggotai lima individu yang aktif sejak 2022
  • Modus operandi menyasarkan rumah teres dan premis perniagaan, menggeledah dan melarikan barangan berharga
  • Dua suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012, empat lagi di tahanan penjara atas kesalahan lain
  • Kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, pendakwaan menuduh enam suspek dibawah Kanun Keseksaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!