Lelaki dicekup kurang 24 jam selepas samun wanita di restoran

Rakaman CCTV restoran memaparkan suspek menyamun mangsa yang sedang bersarapan. Foto tular
Rakaman CCTV restoran memaparkan suspek menyamun mangsa yang sedang bersarapan. Foto tular
A
A
A

KULAI – Polis berjaya memberkas seorang lelaki kurang daripada 24 jam selepas melakukan samun terhadap seorang wanita di sebuah restoran di Jalan Ismail di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya mula mengesan kejadian tersebut selepas menerima laporan daripada mangsa selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik restoran terbabit yang tular di media sosial.

“Kejadian berlaku pada jam 7.35 pagi ketika mangsa, seorang wanita berusia lingkungan 50-an sedang bersarapan.

“Beg tangan yang diletakkan di atas kerusi berhampiran telah dilarikan suspek yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Susulan kejadian katanya, mangsa mengalami kerugian lebih RM1,000 termasuk kehilangan dokumen pengenalan diri.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Risikan Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menahan suspek berusia 26 tahun di sebuah premis perniagaan di Taman Cantik, kira-kira jam 5.10 petang pada hari yang sama.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan sebuah dompet mengandungi pelbagai resit, wang tunai RM303 dan SG$115 (RM378), seutas rantai kuning, sebuah telefon bimbit, sebuah topi keledar, sebatang kunci serta sebuah motosikal Yamaha Y15ZR berwarna hijau yang dipercayai digunakan ketika kejadian,” ujarnya.

Seng Lee berkata, siasatan lanjut mendapati wang milik mangsa telah dibelanjakan suspek manakala beg tangan mangsa dibakar di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya.

“Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Semakan mendapati dia mempunyai rekod lampau serta masih dikehendaki polis di bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan dan permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Kulai pada Isnin.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!