Kurang 24 jam majlis serah terima tugas: Siapa KPN baharu?

Ayob Khan, Azmi, Mohd Khalid
Ayob Khan, Azmi, Mohd Khalid
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kurang daripada 24 jam sebelum berlangsungnya majlis serah terima tugas, teka-teki mengenai siapakah yang bakal menggantikan Tan Sri Razarudin Husain sebagai Ketua Polis Negara (KPN) masih menjadi persoalan.

Razarudin mengesahkan akan menamatkan kontrak sebagai KPN pada 22 Jun ini, selepas dua tahun menerajui tampuk kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tiga nama pegawai kanan yang disebut-sebut berpotensi dilantik ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail; serta Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim.

Namun, pelantikan itu tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ayob Khan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa 23 Jun 2023, selepas dinaikkan pangkat daripada jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Mohd Khalid pula dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 8 Mei 2023 dengan memangku gred VUYA5 (JUSA A), manakala Azmi memegang jawatan Pengarah JKDNKA Bukit Aman sejak Disember tahun lalu.

Berdasarkan jemputan rasmi media daripada Unit Komunikasi Korporat PDRM, Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Undur Ketua Polis Negara akan berlangsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada Jumaat.

Majlis yang dijadual bermula jam 2.15 petang itu akan dihadiri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum mengesahkan nama individu yang akan dilantik sebagai KPN bagi menggantikan Razarudin yang bakal menamatkan kontrak pada 22 Jun ini.

Anwar yang ditemui pemberita di Johor juga enggan mengulas sama ada senarai calon telah diserahkan kepada pihak Istana Negara atau sebaliknya.

Pelantikan Ketua Polis Negara merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

Untuk rekod, Razarudin dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-14 selama dua tahun secara kontrak selepas bersara, berkuat kuasa 23 Jun 2023, bagi menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!