Seorang wanita dicekup khalwat dengan tiga lelaki di hotel

KLUANG – Seorang wanita ditangkap khalwat bersama tiga lelaki dalam sebuah bilik hotel oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam operasi cegah maksiat pada malam Isnin.
Menurut JAINJ, serbuan jam 12.30 tengah malam itu dijalankan hasil maklumat awam dan pemeriksaan mendapati wanita terbabit secara sukarela bersama mereka, malah dipercayai mengenakan bayaran.
Difahamkan, wanita berusia 23 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai baru berkenalan dengan salah seorang lelaki sebelum diajak ke hotel selepas makan malam bersama.
Siasatan awal mendapati, wanita berkenaan mengetahui bilik itu turut dihuni dua lagi lelaki berusia lingkungan 20-an dan tidak ada masalah berada bersama mereka.
Hasil pemeriksaan juga mendapati mereka menyewa bilik berkenaan secara dalam talian untuk dua malam dan ditahan pada hari kedua penginapan.
Kesemua mereka kini disiasat mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana berkhalwat yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

