RM5 bilion hasil rasuah berjaya dirampas dalam tempoh setahun - PM

IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan usaha kerajaan memperkukuh tatakelola dan memperhebat gerakan membanteras rasuah telah menunjukkan hasil apabila sebanyak RM5 bilion berjaya dirampas dalam tempoh setahun lalu.
Menurut beliau, pencapaian itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Madani untuk membersihkan sistem pentadbiran negara daripada amalan rasuah yang sekian lama membebankan rakyat serta merencatkan pembangunan negara.
“Ada yang menyindir dan sinis dengan soal tatakelola dan gerakan keras anti rasuah ini.
“Saya nak beritahu berapa yang kita kumpul. Dalam setahun ini sahaja, kita sudah berjaya merampas RM4 hingga RM5 bilion hasil daripada kegiatan rasuah di pelbagai agensi, daripada jabatan kementeriannya, imigresen, kastam sehinggalah tokoh politik.
“Itu maknanya, dengan kecekapan dan kesungguhan kita bertindak, kita mampu membersihkan sistem dan membuktikan tatakelola yang baik adalah tonggak utama negara,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral di pekarangan Stesen Keretapi Ipoh, Sabtu.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Anwar berkata, amalan lampau yang mengaitkan projek mega dengan komisen serta sogokan tidak lagi boleh diterima dalam era Kerajaan Madani, sebaliknya setiap projek pembangunan mesti dilaksanakan dengan telus dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Kalau mahu bina bangunan tingkat 15, diminta ‘saguhati’. Kalau naik tingkat 20, ‘saguhati’ bertambah. Semua ini mesti dihentikan. Syarat-syarat itu harus termeterai dalam peraturan yang jelas di semua bidang,” katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu turut menegaskan, kerajaan kini memberi penekanan kepada usaha menaikkan taraf hidup rakyat termasuk pelarasan gaji sektor awam serta memastikan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menunjukkan teladan dalam memberi imbuhan setimpal kepada pekerja.
“Kita sudah naikkan gaji minimum secara berperingkat. Untuk GLIC, gaji permulaan minimum ditetapkan sekitar RM3,100. Syarikat-syarikat lain yang agak gergasi pun harus fikirkan perkara ini maka kebajikan pekerja bertambah,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh mengenai pembangunan Ipoh Sentral yang disifatkannya sebagai salah satu projek perintis penting dalam kerangka pembangunan Madani.
Beliau berkata, projek berkonsepkan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) itu bukan sekadar membina bangunan atau struktur baharu, sebaliknya mesti menitikberatkan aspek kemanusiaan, kemampanan dan kesejahteraan komuniti setempat.
“Sebab itu saya minta Menteri Besar, Menteri Pengangkutan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pendidikan serta kementerian berkaitan lain, kaji semula semua aspek ini.
“Walaupun sudah dirangka, apakah boleh kita baiki lagi. Kalau dapat diperhalusi, Ipoh Sentral boleh dijadikan model pembangunan terbaik dan jadi contoh dalam negara. Saya akan turut bangga dengan perkara itu,” katanya.
Projek bernilai RM6.25 bilion di kawasan seluas 67 ekar itu akan dilaksanakan dalam dua fasa, merangkumi pembinaan taman awam mercu tanda di Regat Tun Perak lengkap dengan masjid baharu, integrasi rumah ibadat sedia ada, serta pembangunan bercampur melibatkan pangsapuri servis, ruang pejabat, niaga, hotel dan kemudahan komuniti.
Apabila siap kelak, projek itu dijangka mewujudkan lebih 8,000 peluang pekerjaan, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

