Fasa pertama Ipoh Sentral siap dalam tempoh setahun

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat dari kanan) melakukan gimik simbolik memasukkan pasir ke dalam kotak kaca pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral di perkarangan Stesen Keretapi Ipoh hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat dari kanan) melakukan gimik simbolik memasukkan pasir ke dalam kotak kaca pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral di perkarangan Stesen Keretapi Ipoh hari ini.
A
A
A

 

IPOH - Rakyat akan menjadi penerima manfaat utama pembangunan Ipoh Sentral apabila fasa pertama projek berkenaan yang melibatkan pembinaan taman rekreasi dijangka siap dalam tempoh setahun.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, syarat itu ditetapkan kepada pemaju agar kemudahan untuk orang awam disediakan terlebih dahulu sebelum mereka menikmati pulangan daripada pembangunan komersial.

"Dalam kerajaan Madani, pendekatan kita berbeza. Kita mahu pemaju bina kemudahan untuk masyarakat setempat dahulu, walaupun ia tidak memberi keuntungan kepada mereka.

"Aspek ini sangat penting dan selari dengan aspirasi Perdana Menteri untuk memastikan rakyat setempat merasai hasil pembangunan lebih awal," katanya ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral di pekarangan Stesen Keretapi Ipoh di sini pada Sabtu.

Majlis berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Anthony berkata, fasa pertama melibatkan pemeliharaan kawasan hijau seluas 2.5 hektar termasuk penambahbaikan landskap serta taman rekreasi, manakala fasa kedua adalah pembangunan bercampur di kawasan seluas lebih 24.4 hektar dengan tempoh pembangunan dianggarkan selama 20 tahun.

"Apa makna pembangunan ini jika penduduk setempat tidak merasainya.

"Sebab itu saya tetapkan syarat, dalam tempoh 6 hingga 12 bulan, taman rekreasi ini mesti dibuka untuk kegunaan orang ramai," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau melahirkan keyakinan, pembangunan Ipoh Sentral bakal menjadi pemangkin bandar transit moden di Perak dengan konsep Transit Oriented Development (TOD), sekali gus menyokong aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Katanya, pendekatan tersebut menggalakkan gaya hidup lestari, mengurangkan kesesakan lalu lintas, memusatkan pembangunan di sekitar stesen dan hab pengangkutan serta memperkukuh peranan pengangkutan awam sebagai salah satu pilihan utama rakyat.

"Perbadanan Aset Keretapi (RAC) telah memainkan peranan penting dan menunjukkan komitmen tinggi dalam memajukan aset-aset ini kepada pembangunan yang bernilai tinggi serta memberi impak positif kepada komuniti setempat.

"Sebelum ini, beberapa kerjasama strategik telah pun dilaksanakan, antaranya di kawasan saya sendiri yang bakal menyaksikan pembangunan Seremban Sentral serta di beberapa lokasi lain di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Usaha-usaha ini membuktikan bahawa tanah-tanah kereta api bukan sahaja aset fizikal, tetapi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat disekitarnya," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!