Kakanda Sultan Kedah, Datuk Seri Tunku Sakinah mangkat

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Kakanda kepada Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Datuk Seri Tunku Sakinah Almarhum Sultan Badlishah, mangkat pada pukul 6.35 pagi Sabtu di Villa Seri Tunku, dekat sini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Bakar Din dalam kenyataan berkata, jenazah Almarhumah akan dimakamkan di Makam Diraja Langgar dijangkakan pada jam 5 petang Sabtu.
“Adalah dengan penuh dukacita dimaklumkan tentang kemangkatan Yang Teramat Mulia Datuk Seri Tunku Sakinah.
“Marilah kita bersama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga roh Almarhumah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya.
Almarhumah mangkat pada usia 95 tahun dan merupakan anakanda kelima Almarhum Sultan Badlishah bersama Tunku Sofiah.
Selain Almarhumah Tunku Sakinah, Almarhum Sultan Badlishah bersama Tunku Sofiah juga dikurniakan lima lagi anakanda, iaitu Tunku Abdul Hamid, Tunku Hamidah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Tunku Abdul Malik dan Tunku Mansor.
Perkongsian hidup Almarhum Sultan Badlishah bersama Sultanah Asma pula dikurniakan lapan anakanda, iaitu Tunku Hosna, Tunku Annuar, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Bishara, Tunku Kamaliah, Tunku Badriyatul Jamal, Tunku Nafisah serta Tunku Abdul Hamid Thani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

