Pemandu Grab sesat, tayar terbenam lumpur gara-gara GPS

ALOR GAJAH – Seorang pemandu Grab wanita berdepan detik cemas apabila keretanya tersangkut dalam lumpur selepas tersesat di kawasan ladang sawit, di sini pada Jumaat.
Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu berlaku apabila pemandu berusia 43 tahun berkenaan mengikuti arahan dan laluan yang disyorkan oleh aplikasi GPS, sehingga memasuki jalan ladang sawit yang berlumpur.
Mangsa yang dikenali sebagai Irene berkata, ketika kejadian, beliau baru sahaja menghantar penumpang di kawasan Melekek dan kemudiannya mahu mencari stesen minyak berhampiran.
Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, beliau menggunakan aplikasi GPS untuk ke stesen minyak tanpa sebarang keraguan, namun tidak menyangka akan melalui jalan yang bukan sahaja berlumpur, malah sunyi dan sempit.
“Saya panik lalu menghubungi keluarga sebelum mereka meminta saya membuat panggilan kecemasan. Tidak lama kemudian, pasukan bomba tiba memberikan bantuan.
“Sejak lima tahun menjadi pemandu Grab, ini merupakan kali pertama saya berdepan pengalaman seperti ini,” katanya yang turut bersyukur kejadian berlaku pada waktu siang.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Shahrom Laji berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, tayar hadapan Perodua Axia yang dipandu wanita terbabit didapati terbenam dalam lumpur dan tidak boleh bergerak.
“Pasukan bomba membantu menolak kenderaan tersebut ke kawasan selamat dan pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.03 pagi selepas memastikan tiada risiko kemerbahayaan di lokasi,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

